
Zairul Fitree Ishak
“AWAS Alex dan Gopi! Kami mahu rantai pergerakan anda.”
Itu
amaran tonggak pertahanan The Red Warriors, Zairul Fitree Ishak kepada
kedua-dua pemain sayap Pahang itu menjelang pertemuan kedua-dua pasukan
pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 3 November
ini.
Zairul Fitree menegaskan, tiada
ruang bagi Azamuddin Mohd Akil atau dikenali Alex dan R Gopinathan untuk
bergerak bebas kerana beliau dan rakan sepasukannya di benteng
pertahanan cukup bersedia untuk merantai pergerakan dua pemain sayap
lincah Tok Gajah itu.
Zairul Fitree
berkata, kekuatan Pahang sebenarnya lebih bertumpu kepada kepantasan
dimiliki dua pemain tersebut terutamanya Gopinathan yang dilihat mampu
melakukan hantaran lintang berbahaya ke dalam kotak penalti.
“Senjata
utama Pahang mendapatkan jaringan ialah menerusi hantaran silang.
Mereka sudah buktikan apabila Mohd Fauzi Roslan menjaringkan gol
menerusi tandukan ketika mengikat seri 1-1 dengan Sarawak dalam separuh
akhir kedua tempoh hari.
“Saya
percaya jika kami boleh menyekat pergerakan Alex dan Gopinathan,
Kelantan akan mendominasi bahagian tengah. Ini yang akan kami lakukan ke
atas mereka pada perlawanan akhir itu nanti,” katanya kepada Sinar
Harian, semalam.
Menurutnya, meski
pun Kelantan akan beraksi tanpa pemain import, Obinna Nwaneri namun
beliau menegaskan itu bukan bermakna skuad kendalian Dollah Salleh itu
mampu menembusi benteng pertahanan mereka dengan mudah.
“Ketiadaan
Obinna memang begitu dirasakan tetapi kami tidak boleh terlalu
memikirkan mengenai dia. Kami perlu lebih fokus dalam latihan dua tiga
hari ini dan saya percaya pertahanan Kelantan tetap kebal sekali pun
tanpa kelibatnya,” katanya.
Ketika
ini, dua pemain iaitu Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim dan Mohd Rizal
Fahmi Ab Rosid dilihat calon paling hampir menjadi pilihan pengendali
Kelantan, Bojan Hodak untuk menggantikan Obinna beraksi pada perlawanan
akhir nanti.
Dalam pada itu, pemain
pertahanan kiri berusia 28 tahun itu berkata, beliau mahu menutup
saingan Liga Malaysia musim ini dengan menjulang kejuaraan kali ketiga
pada penampilan keempat pasukannya di pentas final Piala Malaysia.
“Memenangi
Piala Malaysia adalah detik terindah bagi karier seorang pemain bola
sepak. Setelah mendakap kejuaraan pada 2010 dan musim lalu, saya mahu
memastikan piala tersebut kekal di Kota Bharu tahun depan,” katanya.
#kelate.net