
TEKA-TEKI mengenai destinasi baharu penyerang prolifik negara, Mohd. Safee Sali musim depan hanya akan diketahui sebaik kontraknya bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) tamat bulan depan.
Safee memberitahu, buat masa ini dia belum membuat sebarang keputusan jika khidmatnya tidak lagi diperlukan skuad Harimau Selatan musim depan.
"Tempoh pinjaman saya (bersama Johor DT) hanya akan berakhir pada November (bulan depan).
"Jadi, saya hanya akan membuat sebarang keputusan selepas itu," katanya kepada Kosmo! semalam.
Masa depan Safee bersama Johor DT mula tercetus ekoran kehadiran dua penyerang import, Pablo Aimar dan Braulio Nobrega Rodriguez.
Disebabkan itu, Safee dikatakan bakal dilamar 'adik' Johor DT, Johor bagi mengharungi saingan Liga Premier musim depan sebaik kontraknya bersama Arema Indonesia (dahulunya dikenali sebagai Pelita Jaya) tamat pada Februari 2014.
Safee juga enggan memikirkan sama ada akan kembali ke saingan Liga Super Indonesia (ISL) jika benar khidmatnya tidak lagi diperlukan bersama Johor DT.
"Buat masa ini, saya masih pemain Johor DT.
"Jadi, sebarang keputusan lanjut (sama ada kembali beraksi di Indonesia ataupun menyertai pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia) hanya akan saya fikirkan sebaik kontrak saya tamat," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Safee gembira apabila kembali pulih daripada kecederaan sehingga terpaksa diketepikan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ketika berdepan Bahrain dalam kempen kelayakan Piala Asia 2015 minggu lalu.
"Ketika ini, saya sedang berusaha untuk mengembalikan semula tahap kecergasan dan berharap tidak kembali tercedera sehingga aksi berdepan Bahrain di sana nanti (15 November)," jelasnya.
Sumber : Kosmo/23 Oktober 2013
#theredwarriorsfc.com