Friday, 4 October 2013

Perkemaskan Benteng Pertahanan

TRENINKLAET
"Kelantan perlu perkemaskan benteng pertahanan jika mahu menang dan layak ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini."
Itu nasihat bekas pengendali The Red Warriors, Datuk M. Karathu menjelang pertemuan suku akhir kedua antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini Sabtu ini.
Beliau berkata, kerapuhan benteng pertahanan Kelantan pada aksi pertama tempoh hari menyaksikan Johor DT berjaya meraih bekalan selesa untuk dibawa ke Kota Bharu dalam aksi kedua Sabtu ini.
Menurut Karathu, beliau yakin dan percaya pengendali Kelantan, Bojan Hodak pasti mempunyai ramuan terbaik untuk mengatasi kelemahan tersebut seterusnya memastikan pasukannya mampu beraksi di peringkat separuh akhir musim ini.
"Kelantan mesti menang seandainya mahu layak ke separuh akhir, walaupun tugas tersebut nampak agak sukar. Namun kelebihan bermain di gelanggang sendiri pasti menjadi tonik berharga buat Kelantan di tambah dengan sokongan padu dari penyokong setia mereka.
"The Red Warriors perlu mendapatkan jaringan awal dan ia amat penting sebagai pembakar semangat untuk memadam defisit dua jaringan yang dibawa oleh Johor DT," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, jaringan awal tersebut pastinya akan memberi tekanan kepada pihak lawan sekali gus memudahkan tugas jentera serangan Kelantan untuk menambahkan jaringan.
Karathu memberitahu, jentera serangan Kelantan juga perlu memanfaatkan setiap peluang terhidang dengan menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut.
Katanya, kegagalan memanfaatkan setiap peluang terhidang dalam aksi pertama lalu perlu diatasi segera kerana ia pasti merugikan pasukan.
"Dalam saat genting sebegini, setiap peluang yang dimiliki perlu dimanfaat sebaik mungkin. Ketinggalan 0-2 bukanlah penamat buat Kelantan," katanya.
Sementara itu ketiadaan pertahanan kental, Daudsu Jamaluddin akan menyulitkan benteng Kelantan apabila menrima kunjungan Johor DT.
Sumber : Utusan Malaysia/4 Oktober 2012

#theredwarriorsfc.com
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets