Kota Bharu: Pemain pertahanan Kelantan, S
Subramaniam berharap spekulasi penghijrahannya ke Johor Darul Takzim
(DT) musim depan tidak mengganggu The Red Warriors (TRW) menghadapi
perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) pada 18 dan 25 Oktober ini.
Pemain
berusia 28 tahun itu mengaku masih belum membuat sebarang keputusan
untuk menyertai mana-mana pasukan musim depan dan menegaskan dia masih
milik Kelantan.
Dia turut mengaku memperoleh tawaran Johor DT selain beberapa pasukan lain.
“Saya
harap spekulasi ini tidak menjejaskan persediaan pasukan bagi
menghadapi pusingan separuh akhir dengan ATM. Saya masih dengan Kelantan
dan kontrak saya akan tamat pada 30 November ini. Berita itu
(penghijrahan ke Johor DT) sebenarnya spekulasi.
“Pada
masa ini, hati saya masih di Kelantan dan saya juga hairan bagaimana
media boleh mengatakan saya akan menyertai Johor DT musim depan
sedangkan saya masih belum membuat sebarang keputusan.
“Kelantan juga menawarkan kontrak baru dan saya juga masih belum membuat keputusan,” katanya.
Selain
Subramaniam, empat lagi tonggak, Mohd Norfarhan Mohamad, Azizi Mat
Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Faiz Subri turut dilapor menerima
tawaran daripada pasukan dari Selatan tanah air itu.
Subramaniam
tidak dapat membantu pasukan Kelantan sepanjang musim ini selepas
melakukan pembedahan lutut kiri berikutan kecederaan yang dialaminya
pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang ATM musim lalu.
Subramaniam
berkata, kecederaannya kini sudah pulih 80 peratus dan memerlukan masa
sekurang-kurangnya satu atau dua bulan lagi untuk sembuh sepenuhnya.
“Saya
kini masih dalam proses pemulihan. Memang tidak dinafikan saya rindu
untuk turun beraksi dan membantu Kelantan, namun apa boleh buat saya
hanya mampu memberi sokongan dari luar padang kepada rakan sepasukan.
“Walaupun ATM dianggap sebagai pasukan kuat, saya yakin Kelantan mampu melangkah ke akhir.”
#kelate.net