Thursday, 10 October 2013

Tumpuan Indra Tidak Jejas Dengan Ugutan

Indra Putra (kanan) tidak hilang tumpuan terhadap kempen Piala Malaysia dengan kes ugutan dalam facebook.
KUALA LUMPUR – Pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin berjanji bahawa tumpuannya pada separuh akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 18 dan 25 Oktober ini tidak akan sesekali terjejas dengan kontroversi ugutan penyokong Johor Darul Takzim dalam laman sosial facebook yang turut telah dimaafkannya.
Penyerang dan sayap kiri berjersi nombor 23 itu mengambil kontroversi itu dari sudut positif dengan menyifatkannya sebahagian asam garam daripada kerancakan arena bola sepak tempatan dan membuktikan persaingannya sudah semakin mendapat perhatian lebih ramai peminat berbanding dulu.
“Saya tidak mengambil ugutan itu secara serius. Itu sudah jadi asam garam bola sepak bagi pemain yang sudah lama dalam saingan tempatan ini. Bukan satu masalah besar pun dan tumpuan saya tetap kukuh kepada usaha untuk membawa Kelantan melepasi separuh akhir Piala Malaysia musim ini.
“Biarpun saingan berehat seketika (bagi skuad kebangsaan menghadapi Kelayakan Piala Asia dengan Bahrain di Shah Alam), kami tetap berlatih seperti biasa.
“Terkilan juga apabila mendapati kami terpaksa berdepan ATM lebih awal dalam separuh akhir. Kalau boleh saya hendak mengulangi pertemuan perlawanan akhir seperti musim lalu. Bukankah lebih menarik? Tapi sudah ditakdirkan begitu, tidak mengapalah,” katanya yang turut menyifatkan ATM sebagai lawan yang perlu dihormati apatah lagi selepas mereka menumbangkan juara Liga Super 2013, Lions XII dalam suku akhir.
Bekas pemain kebangsaan ini menambah, ATM memiliki pemain yang mampu mencipta keajaiban dan di luar dugaan seperti Marlon Alex James dan Hairuddin Omar serta disokong pemain muda.
”Merekalah yang meranapkan rekod tanpa kalah kami di Kota Bharu (Piala Sultan Ahmad Shah dan Liga Super),” ujarnya.
Namun, Indra Putra mengakui seperti musim sebelumnya, suasana persaingan Piala Malaysia sentiasa jauh berbeza dan jurulatih kedua-dua pasukan, Bojan Hodak dan B. Sathianathan sudah tentu merancang sesuatu yang berlainan daripada segi taktikal dalam menghadapi separuh akhir di Shah Alam dan Kota Bharu.
“Saya dimaklumkan ATM akan berpindah ke Stadium Shah Alam dari Stadium Majlis Perbandaran Selayang bagi separuh akhir pertama. Saya tahu walau di mana pun ATM beraksi sebagai tuan rumah, mereka tetap hebat dan wajar diawasi sebagai pasukan yang memiliki pemain berpengalaman dan kebangsaan.
“Namun, saya ramalkan Stadium Shah Alam akan kembali dibanjiri lebih ramai penyokong Kelantan seperti sebelumnya berbanding tuan rumah. Semakin gamat sokongan peminat Wira Merah, semakin bersemangat dan membantu perjuangan pasukan untuk mengulangi kemaraan ke perlawanan akhir Piala Malaysia,” katanya.

#kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets