
DEFISIT dua gol bukan satu misi mustahil bagi Sarawak apabila melayan kunjungan Pahang pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.
Keyakinan itu semakin membara dengan kehadiran semula dua tonggak Bujang Senang - Joseph Kalang Tie dan Ronny Harun yang sebelum ini masing-masing digantung satu perlawanan serta dibelenggu kecederaan.
Justeru, Joseph berkata, episod kekalahan 1-3 ketika bertandang di Kuantan minggu lalu harus ditebus dengan melakar kemenangan di gelanggang sendiri, sekali gus memastikan slot final menjadi milik Sarawak.
Menurut Joseph, meskipun sedar mereka bakal berdepan tekanan untuk merobek gawang Tok Gajah, dia dan rakan-rakan sepasukannya tidak perlu ghairah memburu gol kerana mampu menjejaskan strategi pasukan.
"Memang misi utama saya dan rakan-rakan lebih kepada final Piala Malaysia.
"Namun, persoalan sama ada kami layak atau tidak ke pentas final bergantung kepada aksi yang ditampilkan pada perlawanan Sabtu ini.
"Saya mahu memberi jaminan, aksi yang mengecewakan ketika di Kuantan tempoh hari tidak akan berulang di Kuching.
"Maruah pasukan akan ditebus pada baki 90 minit perlawanan dengan mencipta kemenangan besar," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuching semalam.
Joseph menambah, mereka juga tidak akan tertekan dengan kelebihan yang dimiliki skuad bimbingan Dollah Salleh itu.
Ujarnya, tiada yang istimewa mengenai Pahang kerana dia menganggap tahap skuad Tok Gajah adalah sama dengan Sarawak yang dikemudi oleh Robert Alberts.
"Cuma, masalah kami pada perlawanan lalu, kami banyak kehilangan bola di posisi tengah dan pertahanan sehingga menyukarkan jentera serangan melancarkan gerakan ke kubu lawan," katanya.
Joseph berkata, sorakan lebih 25,000 penyokong setia Ngap Sayot pada malam Sabtu kelak pasti memberi suntikan semangat kepada barisan pemain Bujang Senang.
"Bagi penyokong, mereka harus jaga akhlak, beri sokongan paling hebat, tidak mengherdik dan membaling mercun ke arah padang. Saya yakin, penyokong umpama pemain ke-12 Sarawak," katanya.
Sumber : Kosmo/23 Oktober 2013
#theredwarriorsfc.com