
Mohd Badhri Radzi
Kota Bharu: “Terpulanglah nak panggil atau tidak. Saya tidak rugi apa-apa. Saya pun senang kalau tidak dipanggil kerana boleh fokus untuk Piala Malaysia,” kata kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi.
Badhri atau Piya berkata demikian selepas diminta mengulas namanya sekali lagi tidak tersenarai dalam pemain pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal bagi menyertai latihan pusat yang bermula semalam sebagai persiapan menentang Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.
Badhri berkata, dia tidak bermaksud menghampakan peminat yang ingin melihatnya beraksi bersama skuad Harimau Malaya, namun itu adalah keputusan Rajagobal.
Katanya, jurulatih itu mungkin memilih pemain berdasarkan keperluan pasukan selain mempunyai percaturan tersendiri dengan pemain pilihannya mampu beraksi lebih baik lagi.
“Mungkin ada penyokong yang ingin melihat saya bermain bersama skuad kebangsaan. Tapi saya menerima apa juga keputusan jurulatih. Kalau (Rajagobal) panggil saya pergi, kalau tidak, tak mengapa.
“Pada waktu sama saya boleh fokus membantu Kelantan mempertahankan Piala Malaysia. Kadang-kala tidak dinafikan isu sebegini memberi tekanan kepada saya. Saya harap isu ini tidak diperbesarkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Kelmarin akhbar melaporkan 28 pemain dipilih untuk mengikuti latihan pusat kebangsaan namun nama Badhri tidak tersenarai, malah turut tiada dalam senarai menunggu sehingga menimbulkan persoalan adakah pemain Kelantan itu sudah digam Rajagobal.
Bagaimanapun, empat pemain Kelantan iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd Shahrul Azim Abd Halim, Mohd Shakir Shaari dan Ahmad Fakri Saarani terpilih untuk latihan pusat itu.
#kelate.net