
NUNEZ menimbulkan kontroversi apabila menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Kelantan, Sabtu lalu.
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak akan mengemukakan laporan berhubung insiden penyerang import Johor Darul Takzim (Johor DT) Leonel Nunez yang menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Kelantan dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Sabtu lalu.
Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan mengemukakan sebarang aduan kepada FAM memandangkan Nunez tidak lagi menyarung jersi Johor DT musim depan.
“Kita tidak akan kemukakan laporan berhubung insiden tersebut, lagipun kontrak pemain berkenaan (Nunez) bersama Johor DT sudah tamat.
“Jika laporan berhubung insiden berkenaan dibuat, ia tidak mempunyai kesan,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menunggu aduan rasmi daripada KAFA berhubung insiden tersebut.
Kosmo! semalam melaporkan FAM kini hanya menunggu aduan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berhubung insiden panas yang berlaku pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak berkata, KAFA boleh mengemukakan laporan terhadap insiden yang berlaku pada pertembungan penuh dramatik itu.
Satu lagi insiden melibatkan seorang lagi penyerang Harimau Selatan, Norshahrul Idlan Talaha atau dikenali sebagai Mat Yo yang mengalami kecederaan apabila hidungnya berdarah selepas disiku oleh tonggak Kelantan, Indra Putra Mahayuddin.
Tambah Azman, tindakan Nunez itu dianggap cukup biadap memandangkan pemain kelahiran Argentina itu mencari rezeki di negara ini.
“Biarpun tidak membuat laporan tetapi tindakan Nunez itu adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia. Ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan pemain The Red Warriors, Indra Putra yang didakwa menyiku penyerang Johor DT, Mat Yo, Azman memberitahu, KAFA tidak akan mengemukan laporan berhubung insiden tersebut.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net), Mohd. Khairi Yazib berkata, tindakan Nunez menunjukkan isyarat tersebut sebagai tidak bermoral.
Menurutnya, selaku pemain bola sepak profesional dia tidak sepatutnya bertindak demikian yang boleh menimbulkan kemaharan penyokong.
“Saya puji tindakan penyokong yang tidak mudah melatah dengan provokasi murahan pemain berkenaan,” ujarnya.
#kelate.net