London: Pemain bola sepak Perancis, Nicolas Anelka menolak tuduhan dia meraikan jaringan dengan membuat tabik hormat anti-Yahudi dan nekad untuk menentang dakwaan itu yang boleh menyaksikan dia digantung.
Anelka, 34, dikritik hebat kerana isyarat ‘quenelle’ yang dipopularkan pelawak Perancis, Dieudonne M’bala M’bala namun diterjemahkan pengkritik sebagai tabik Nazi.
Penyerang West Brom itu berkata, dia akan menentang pertuduhan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris yang memungkinkannya digantung lima perlawanan.
“West Brom mengesahkan Nicolas Anelka sudah menafikan pertuduhan FA berhubung isyarat dilakukannya selepas menjaringkan gol pertama menentang West Ham pada 28 Disember lalu. Dia meminta pendengaran kes secara peribadi,” menurut satu kenyataan kelab.
Satu kenyataan ringkas FA mengesahkan penafian Anelka dan permintaan untuk mendengar kesnya namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai pendengaran kes itu.
Anelka menafikan dia bersikap perkauman atau anti-Yahudi namun penaja jersi West Brom, Zoopla, memutuskan tidak membaharui tajaan berikutan insiden itu.
Laporan di Britain menggambarkan penaja lain turut menimbangkan kedudukan mereka. - AFP
Hmetro.com.my