
CARRICK mengakui rakan-rakan sepasukan semakin terdesak untuk meletakkan semula United di landasan yang tepat musim ini.
LONDON - Manchester United ada tugas penting yang perlu dilaksanakan pada aksi separuh akhir kedua Piala Liga menentang Sunderland di Old Trafford awal pagi esok.
Selepas peluang untuk mempertahankan trofi Liga Perdana England semakin tipis, skuad The Red Devils sedar kemenangan akan mengubah nasib mereka musim ini.
Bagaimanapun, skuad bimbingan David Moyes itu dijangka berdepan tugas sukar selepas tewas 1-2 pada pertemuan pertama di Stadium of Light, 7 Januari lalu.
Selain itu, United masih segar dengan kekalahan 1-3 kepada Chelsea pada aksi liga domestik di Stamford Bridge, Ahad lalu.
Kekalahan itu meletakkan United di tangga ketujuh liga selepas sekadar mengumpul 37 mata untuk ketinggalan 14 mata di depan pendahulu, Arsenal.
Pada masa yang sama, United turut terkandas di pusingan ketiga Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Swansea City, 5 Januari lalu.
Situasi itu menyebabkan United semakin terdesak untuk memburu kemenangan dan kejayaan menjulang trofi Piala Liga mampu mengubat kekecewaan itu.
Bagaimanapun, Moyes yang menggantikan tempat Alex Ferguson mengakui, beliau tidak dapat membuat pilihan yang tepat apabila sering menerima tekanan dariapda para penyokong.
"Kami akan melakukan segala-galanya yang termampu untuk melepasi halangan ini.
"Saya mahu memberikan sesuatu yang menggembirakan para penyokong. Kami tidak mempunyai banyak peluang dan saya sedar mengenai situasi tersebut," kata Moyes.
Sementara itu, pemain tengah United, Michael Carrick berkata, rakan-rakan sepasukan terdesak untuk meletakkan semula pasukan itu di landasan tepat.
"Kami mahu bermain sekali lagi secepat yang boleh.
"Rabu ini (esok) merupakan satu lagi perlawanan yang besar. Sesuatu yang penting buat kami. Peluang untuk mara ke final. Kami tidak boleh memandang mudah perlawanan itu.
"Kami akan bangkit (selepas tewas kepada Chelsea), melupakan kekalahan itu dan bersedia untuk menghadapi Sunderland," katanya . - AFP
Kosmo.com.my