Sunday, 26 January 2014

Mourinho Tumpu Aksi Piala FA

London: Fokus pengurus Chelsea, Jose Mourinho akan kembali terarah dari pasaran perpindahan pemain ke misi memburu kejuaraan apabila Stoke bertandang ke Stamford Bridge dalam aksi pusingan keempat Piala FA malam ini.

Suasana di kelab barat London itu didominasi perbincangan perpindahan berikutan kemenangan ke atas Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris.

Keputusan Mourinho untuk menyokong penjualan pemain tengah Sepanyol, Juan Mata pada harga £37 juta (RM203.4 juta) mengejutkan ramai terutamanya penyokong Chelsea yang kecewa dengan pemergian pemain yang menjadi pemain terbaik kelab itu sejak dua musim lalu.
Pengurus kelahiran Portugal itu bagaimanapun menegaskan penjualan itu disebabkan kejayaan mendapatkan pemain sayap Basel dari Mesir, Mohamed Salah, yang dikatakan hampir menyertai Liverpool sebelum Chelsea campur tangan.

Mourinho tidak menjangkakan Chelsea akan aktif dalam musim perpindahan Januari tetapi sebaik kepulangan Nemanja Matic ke kelab itu dari Benfica pada harga £21juta (RM115.4 juta), usaha bekas pengurus Real Madrid itu untuk membentuk kembali skuadnya dilihat semakin ketara.

Perpindahan itu dijangka bakal disempurnakan tidak lama lagi tetapi semua itu perlu diketepikan ketika skuad Mourinho berdepan Stoke yang pernah menewaskan mereka 3-2 sewaktu kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Brittania dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Ketika itu, Chelsea menerima padah kerana hanya beraksi cemerlang pada separuh masa pertama dan Mourinho memberi amaran kepada pasukannya mengenai cabaran anak buah Mark Hughes meskipun Stoke hanya menang sekali dalam enam perlawanan terakhir.

“Kami tewas kepada pasukan ini dan ia berlaku tidak lama dulu. Mereka pasukan yang mencabar,” kata Mourinho.
“Semua orang tahu mengenai Stoke, mereka memberi cabaran fizikal, kuat di bahagian set piece dan mereka datang semata-mata untuk bertanding. Saya jangkakan perlawanan yang sukar.” - AFP
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets