Kota Kinabalu: Perubahan waktu perlawanan pasukan Sabah dari petang ke malam di Stadium Likas musim ini memberi sedikit kelegaan kepada peminat setia Sabahawks untuk terus memberi sokongan padu.
Rata-rata penyokong ditemui merakamkan rasa gembira kerana dapat meluangkan masa hadir selepas waktu bekerja.
Pada musim lalu, Sabah mengharungi perlawanan di tempat sendiri pada jam 4.15 petang dan menyukarkan penyokong hadir ke stadium.
Penyokong, Mohd Redzuan Mohamad Zin, 30, berkata, perubahan waktu itu akan membolehkan lebih ramai penyokong setia pasukan Sabah hadir ke stadium.
“Sebagai penyokong setia Sabah, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang sedaya upaya memberi keselesaan kepada penyokong untuk hadir ke stadium pada waktu malam.
“Perubahan waktu ini juga akan dapat menarik lebih ramai penyokong yang mempunyai masa terluang berbanding waktu petang,” katanya.
Redzuan berkata, perubahan waktu itu juga memberi banyak keselesaan kepada penyokong kerana tidak berdepan cuaca panas.
Seorang lagi penyokong, Rumansah Adam, 25, turut bersetuju dengan perubahan masa tersebut kerana akan dapat memberi peluang ramai penyokong datang ke stadium.
“Saya pasti, musim ini stadium akan terus dipenuhi penyokong setia Sabahawks berbanding musim lalu,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung SAFA, Alijus Sipil berkata, pihaknya sebelum ini sudah membuat permohonan kepada FAM bagi mengadakan perlawanan pada waktu malam selepas membuat pemeriksaan tahap lux lampu yang dijalankan 22 Januari lalu.
“SAFA bersama kakitangan Lembaga Sukan Sabah (LSS) dan kontraktor bertanggungjawab membuat pemeriksaan terhadap tahap lux lampu di stadium berkenaan seterusnya mengemukakan permohonan kepada FAM.
“Susulan itu, FAM meluluskan untuk mengadakan perlawanan pada esok (malam ini) bertemu FELDA United diubah pada jam 8.15 malam,” katanya, kelmarin.
Dalam perkembangan lain, jurulatih Seslija Milomir meminta semua penyokong hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada Sabah di Stadium Likas, malam ini.
“Saya harap penyokong akan kembali kepada kami,” katanya.
Hmetro.com.my