
Bobby Gonzalez (No. 9) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan ketika membantu PDRM membelasah Pulau Pinang 5-1 dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.
PETALING JAYA - 'Magis' Dollah Salleh bersama skuad kendalian terbarunya, PDRM terus menjadi apabila Pulau Pinang menjadi mangsa terbaru kehebatan skuad The Cops apabila dibelasah 5-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.
Kemenangan itu membawa PDRM menerajui carta liga dengan enam mata sambil diekori rapat Kedah yang turut berkongsi mata yang sama cuma perbezaan jaringan menyebelahi The Cops.
Menurunkan bintang Maldives, Ashafaq Ali dan penyerang import dari Brazil, Charles Chad Souza, PDRM jelas tampak terlalu perkasa buat anak-anak buah K. Devan telah ketinggalan 3-1 pada babak pertama.
Bekas penyerang Sarawak, Bobby Gonzales awal-awal lagi meledak jaringan pertama buat tuan rumah pada minit ke-3 namun Harimau Kumbang pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-17 apabila Yong Kuong Yong bijak memanfaatkan bola muntah di dalam kotak penalti PDRM.
Namun, kelegaan Pulau Pinang hanya bertahan sembilan minit apabila Mohd. Fadhil Hashim meletakkan kembali PDRM di hadapan selepas melakukan susulan bola tampanan penjaga gol G. Jeevanathan.
Gol ketiga PDRM pula disumbangkan oleh Mohd Shahril Izuan Abdullah hasil kelalaian G. Mahathevan yang membiarkan pemain itu berseorangan di dalam kotak penalti sebelum dia mudah merembat masuk pada minit ke-38.
Jeevanathan terus mempamerkan aksi longlai di gawang dengan jaringan keempat tuan rumah berpunca daripada kecuaiannya yang sekadar menyepak lemah dan bola tepat hadir ke kaki Ashfaq Ali yang mudah merembat masuk pada minit ke-59.
Charles memastikan kejayaan penuh gemilang buat The Cops pada minit ke-65 apabila menanduk masuk hantaran lintang Fadhil dari sebelah kiri dengan Jeevanathan langsung tidak berbuat apa-apa untuk mencabar pemain Brazil berkenaan bagi jaringan kelima PDRM.
Utusan.com.my