Sunday, 26 January 2014

' Jangan Keterlaluan Sangat '

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal berani memberi jaminan bahawa dua jurulatih pasukan Liga Malaysia, B. Sathianathan dan Ismail Zakaria tidak akan dikenakan apa-apa hukuman atas pandangan yang dilemparkan terhadap mutu pengadilan baru-baru ini.

Malah Subahan turut menegur kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak, kelmarin yang dianggap keterlaluan apabila memberitahu telah mengarahkan Jabatan Undang-Undang untuk mengkaji apa yang diperkatakan oleh dua jurulatih tersebut.
Kata Subahan, apa yang diperkatakan oleh Sathianathan selaku jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan jurulatih Sime Darby, Ismail perlu diterima secara terbuka dalam usaha memperkasakan bola sepak di negara ini.
Tambah Subahan yang juga pengurus skuad Harimau Malaya, FAM kini sudah lebih terbuka dalam menerima pandangan dan tidak sewenang-wenangnya mengenakan hukuman terhadap kenyataan dikeluarkan oleh seseorang jurulatih.
"Bagi saya arahan yang diberikan oleh Datuk Taufek adalah diluar bidang kuasanya terutama apabila sesuka hati mengarahkan Jabatan Undang-Undang untuk membuat semakan kerana hanya Mesyuarat Exco yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM sahaja yang berhak memberikan arakan kepada jabatan tersebut.
"Sepatutnya beliau (Taufek) perlu merujuk terlebih dahulu kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan perkara tersebut seterusnya akan dibawa ke Mesyuarat Exco untuk keputusan lanjut tambahan pula beliau bukan salah seorang ahli Exco.
"Saya harap beliau lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana khuatir ia mampu merosakkan imej FAM pada pandangan peminat bola sepak khususnya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin, Taufek memberitahu beliau telah mengarahkan Jabatan Undang-Undang untuk menyemak segala apa yang diperkatakan oleh Sathianathan dan Ismail dan sekiranya terdapat kes, kemungkinan mereka berdua bakal dirujuk Kod Tatatertib di bawah Perkara 18.
Jika disabitkan dengan sebarang kesalahan, kemungkinan Sathianathan atau Ismail boleh dikenakan penggantungan sekurang-kurangnya empat perlawanan dan paling maksimum, selama dua tahun.
Sementara itu, Subahan turut memberitahu, segala pandangan dua jurulatih tersebut terhadap pengadil akan dibawa ke Mesyuarat Exco untuk perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz.
"Saya sendiri akan membawa perkara ini pada mesyuarat yang mungkin diadakan pada bulan depan.
"Malah saya akan pastikan dua jurulatih berkenaan tidak akan dikenakan tindakan tambahan pula kita memang memerlukan pandangan daripada jurulatih untuk meningkatkan kualiti bola sepak di negara ini," kata Subahan.

Tutusan.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets