Kelana Jaya: “Pemain jangan bimbang, keselamatan mereka terjamin.
Itu kenyataan disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abd Razak kepada pemain Kuala Lumpur yang kini dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kes rasuah dan mengatur perlawanan.
Beliau menegaskan, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan pemain berkenaan supaya dapat memberikan keterangan dalam kes perbicaraan membabitkan satu pasukan Kuala Lumpur musim lalu.
Sebelum ini, sumber dalaman Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mendedahkan, keselamatan pemain mula diancam bookie selepas kegiatan mengatur perlawanan didedahkan oleh FAM sejak Disember lalu.
“Saya tidak mahu mengesahkan perkara itu tapi dalam masa yang sama, saya tidak mahu menafikan perkara itu (pemain diancam bookie). Apa yang pasti, FAM akan memberikan jaminan keselamatan kepada pemain yang memberikan keterangan, mereka tidak perlu takut atau bimbang,” katanya.
Dalam mesyuarat itu, tiga lagi pemain Kuala Lumpur dibicarakan iaitu Mohamad Ar’Rauf Roslee, Muhammad Hanis Othman Mohtar dan Muhammad Rafeef Raya.
Bagaimanapun keputusan perbicaraan kesemua pemain skuad Warga Kota itu hanya akan diumumkan pada Selasa depan.
Hmetro.com.my