Saturday, 25 January 2014

Kelantan Tagih Bisa Ghaddar Lagi

Ghaddar (kiri) jaring dua gol bantu TRW menewaskan Sime Darby FC, 2-1, Sabtu lalu.
Kota Bharu: Selepas dua jaringannya berjaya membantu The Red Warriors (TRW) menewaskan Sime Darby FC, 2-1, Sabtu lalu, bisa Mohamad Ghaddar sekali lagi ditagih menjelang aksi kedua Liga Super menentang Sarawak, di Stadium Negeri, Kuching, malam ini.
Ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby sudah pasti akan menggunakan pemain import dari Lubnan itu sebagai penyerang utama TRW bagi memastikan tiga mata penuh dapat diraih di tempat lawan.
Darby berkata, gandingan Mohamad Ghaddar dan seorang lagi penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe mungkin menjadi pilihannya di bahagian serangan TRW.

“Gandingan Ghaddar dan Forkey Doe ketika menentang Sime Darby tempoh hari menunjukkan kombinasi baik di bahagian serangan. Besar kemungkinan mereka akan digandingkan sekali lagi bagi perlawanan malam esok (malam ini).
Shawky masih belum pulih
“Mohamed Shawky masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring, dan ini memberi peluang untuk saya menurunkan Ghaddar sebagai pelengkap tiga pemain import.
“Bagi perlawanan itu, mungkin ada sedikit perubahan akan saya lakukan bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada ketika aksi pertama dengan Sime Darby, Sabtu lalu,” katanya semalam.
Sementara itu, kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi mengingatkan rakan sepasukannya supaya bekerja lebih keras dalam perlawanan malam ini bagi meneruskan momentum kemenangan TRW.
Katanya, dia mengakui Sarawak mempunyai kelebihan apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri, namun tidak mustahil untuk TRW mencuri tiga mata penuh dari perlawanan itu.
“Kemenangan ke atas Sime Darby adalah moral terbaik buat semua pemain. Namun, kami tidak boleh terlalu selesa sebaliknya harus bekerja keras bagi memastikan momentum kemenangan dapat diteruskan.
“Memang mereka (Sarawak) mempunyai kelebihan apabila beraksi di gelanggang sendiri, tapi dengan semangat juang dan kerjasama baik antara semua pemain, tidak mustahil untuk kami meriah kemenangan,” katanya.
www.bharian.com.my
Kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets