Saturday, 25 January 2014

Rebah Di Laman Sendiri

Pasir Gudang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kempen Liga Perdana dengan langkah kanan apabila menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 3-1 di Stadium Majlis Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Ternyata beraksi dengan 10 pemain sepanjang 70 minit perlawanan selepas penjaga gol, S Sasikumar dilayangkan kad merah bagaikan petanda buruk buat pasukan tuan rumah yang pada awalnya bermula garang, namun tidak bertahan lama selepas anak didik Dollah Salleh bangkit menguasai perlawanan.

Begitupun pintu gol PDRM cemas seawal minit ke-3 selepas gerakan menarik Braulio Nobrega yang mengumpan kepada Mohd Alif Mohd Yusof sebelum melorongkan semula kepada Nobrega, namun rembatan leretnya sekadar sipi dari gawang gol.
Tertekan dengan asakan awal skuad Merah Biru itu, PDRM kembali menguasai perlawanan dan bertindak melancarkan serangan menerusi gerakan berbahaya pemain import, Ali Ashfaq pada minit ke-8, namun bola rembatannya sekadar melepasi palang gol.

Aksi pada minit ke-17 turut mendebarkan apabila peluang mencipta jaringan bersilih ganti menerusi percubaan Nobrega yang disusuli rembatan Mohd Nursalam Zainal Abidin, tetapi benteng pertahanan pelawat masih utuh apabila berjaya menghalang setiap percubaan berbahaya itu.

Selepas bertali arus mengasak ke kubu pelawat akhirnya gol yang dinantikan skuad Merah Biru itu menjelma pada minit ke-23, berpunca daripada hantaran kapten Shahril Ishak kepada Mohd Nursalam yang pantas menolak kepada Nobrega yang bertindak menggelecek bola sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol, Azizon Abd Kadir.
Terjahan keras Sasikumar terhadap Ashfaq di luar kotak penalti menyaksikan pengadil, Mohd Tohri Tajuddin melayangkan kad merah tatkala pemain import pelawat itu berada dalam kedudukan terbaik menjaringkan gol penyamaan dan situasi itu memaksa jurulatih Azmi Mohamad melakukan rombakan mengeluarkan Mohd Yusof Zainal Abidin untuk memasukkan penjaga gol kedua, Zulfadhli Mohamed.

Bagaimanapun, PDRM bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi Mohd Afif Amiruddin sebelum sekali lagi menghukum kealpaan benteng pertahanan tuan rumah pada minit ke-59 hasil jaringan Bobby Gonzales.
Pelawat yang bijak mengambil kesempatan tatkala JDT II beraksi dengan 10 pemain menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol pada minit ke-62 selepas umpanan Mohd Shahril Izwan Abdullah disudahkan kemas pemain gantian, Mohd Fazilidin Khalid.
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets