Seremban: Selepas kecewa tersingkir daripada saingan Piala FA, Selasa lalu, Negeri Sembilan memulakan kempen Liga Perdana dengan bertenaga apabila menewaskan DRB Hicom 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.
Skuad Hoben Jang Hoben bangkit dengan aksi lebih baik apabila memperkemaskan jentera pasukan sebaik saingan bermula dengan beberapa kali menguji benteng DRB Hicom.
Namun, dua tonggak barisan depan iaitu pemain import dari Korea Selatan Kim Jin Ryong dan dari Slovakia, Jozef Kaplan gagal melakukan penyudah tepat.
Menerusi satu serangan balas, Kaplan akhirnya memecahkan kebuntuan apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-32 selepas memanfaatkan bola hantaran lintang Jin Ryong.
Sebaik saingan babak kedua bersambung, Negeri Sembilan meningkatkan asakan dan melebarkan jurang selepas gerakan solo Kaplan membuahkan hasil apabila dia menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-52.
Begitupun, hasil kesilapan bahagian pertahanan tuan rumah untuk menutup ruang kepada pemain lawan membawa padah apabila Iyanu Ezekiel merapatkan jurang menerusi jaringan minit ke-56.
Bagaimanapun usaha DRB Hicom untuk mendapatkan gol penyamaan tidak kesampaian apabila kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Hmetro.com.my