Berlin: Juara bertahan Bayern Munich mengekalkan kelebihan 10 mata di puncak Bundesliga selepas kelab tangga kedua, Bayer Leverkusen tewas mengejut 3-2 kepada pasukan yang sedang bergelut dengan prestasi Freiburg, kelmarin, kekalahan ketiga berturut-turut dialami mereka dalam liga.
Bayern melebarkan rekod tanpa kalah kepada 42 perlawanan dengan kemenangan 2-0 mengatasi Borussia Moenchengladbach pada Jumaat.
Namun pengendali Leverkusen, Sami Hyypia mendapat kejutan di Freiburg apabila dua kali tuan rumah mempamerkan kebangkitan sebelum pemain tengah Felix Klaus meledak jaringan dramatik pada minit ke-90 untuk memberikan kemenangan.
“Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama, kemudian memberikan terlalu banyak bola dan Freiburg melakukan serangan balas,” akui Hyypia.
“Mereka sangat berbahaya, kami cuba memenangi perlawanan namun hadir serangan balas terakhir.” Keputusan menyaksikan Freiburg yang berada antara tiga pasukan terbawah liga melonjak kepada kedudukan ke-15 ketika jaringan tuan rumah dinafikan pemain tengah Leverkusen, Lars Bender dan Simon Rolfes.
Leverkusen tewas dalam tiga perlawanan terakhir selepas menamatkan saingan 2013 dengan tewas kepada dua pasukan yang sedang bergelut dengan prestasi, Frankfurt dan Bremen.
Bayern boleh melebarkan lagi kelebihan mereka dengan kunjungan ke VfB Stuttgart pada Rabu ini menerusi satu perlawanan yang dijadualkan semula.
Borussia Dortmund meraih kedudukan ketiga dengan kelebihan jaringan mengatasi Moenchengladbach walaupun terikat 2-2 menentang Augsburg dengan kembar Lars, Sven Bender yang juga pemain tengah Jerman meledak jaringan untuk kedua-dua pasukan.
Pemain tengah Dortmund memberikan tuan rumah gol pendahuluan di Westfalenstadion selepas perlawanan berlangsung enam minit, kemudian menjaringkan gol sendiri pada minit ke-56 untuk membolehkan Augsburg menyamakan kedudukan.
Pemain tengah Turki, Nuri Sahin memberikan kelegaan kepada Bender dan Dortmund apabila melakukan sepakan percuma yang cantik untuk menjadikan kedudukan 2-1 ketika perlawanan berbaki 20 minit.
Namun Augsburg mengikat kedudukan apabila pemain Korea Selatan, Ji Dong-Won -yang bakal bersama Dortmund musim depan -menanduk masuk selepas dua minit berada di padang untuk membolehkan kelab itu berada di kedudukan kesembilan liga.
-AFP
Hmetro.com.my