Johor Bahru: Merentap ego Selangor nyata memberi kepuasan buat LionsXII yang sudah mula menunjukkan taringnya beraksi di padang rumput tiruan untuk mencipta kemenangan 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, kelmarin.
Agak menarik apabila dua gol berpunca daripada ‘set piece’ menarik sehingga memukau benteng pertahanan skuad Gergasi Merah termasuk penjaga gol, Farizal Marlias.
Namun bagi pengendali LionsXII, Fandi Ahmad yang mengambil alih tugas daripada V Sundramoorthy, tidak mahu terlalu awal mendabik dada sebaliknya menganggap banyak kelemahan perlu diperbaiki bagi memantap pasukan berstatus juara Liga Super itu.
“Saya berpuas hati dengan tiga mata yang diraih, begitupun ia terlalu awal untuk menyatakan barisan pemain LionsXII berada di tahap memuaskan kerana banyak lagi kelemahan yang harus diperbaiki.
“Paling ketara adalah tahap kecergasan pemain masih belum memuaskan.
Apa pun saya yakin kesungguhan yang dipamerkan pemain selepas menewaskan Selangor beri motivasi tinggi kepada mereka mengharungi perlawanan seterusnya.
“Saya tidak anggap Lions XII ada kelebihan beraksi di padang rumput tiruan.
Anda lihat sendiri penguasaan jelas milik Selangor, tetapi pemain saya bersikap tenang dan tidak kelam kabut dan hasilnya tiga mata milik kami,” katanya.
Anda lihat sendiri penguasaan jelas milik Selangor, tetapi pemain saya bersikap tenang dan tidak kelam kabut dan hasilnya tiga mata milik kami,” katanya.
Tuan rumah yang sering tertekan dengan asakan bertubi-tubi anak didik Mehmet Durakovic pantas mengambil kesempatan mencipta gol pada minit ke-44 selepas Shakir Hamzah menanduk kemas bola sepakan sudut.
Bagaimanapun, LionsXII tersentak dengan jaringan penyamaan Selangor pada minit ke-57 selepas Mohd Fittri Shazwan menanduk bola menerjah jaring, namun ketika aksi terarah dengan keputusan seri 1-1, Khairul Amari Kamal muncul wira LionsXII selepas bola tandukan pada masa kecederaan babak kedua memastikan kemenangan buat skuad Singa itu.
Kini Fandi mengakui agak gusar menanti pertembungan menentang seteru utama Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Larkin, malam esok selepas Khairul Amri mengalami kecederaan selain Shahfiq Ghani dan Safuwan Baharuddin turut mengalami nasib serupa.
“Belum pasti lagi status mereka, kita akan pantau kecederaan dialami dan saya berharap mereka bersedia berdepan satu lagi ujian getir berdepan pasukan yang di anggap terkuat pada saingan Liga Super,” kata Fandi.
Hmetro.com.my