London: Kapten Bournemouth dan penyokong setia Liverpool ketika zaman kanak-kanak, Tommy Elphick gembira dengan keputusan Luis Suarez kekal di Anfield pada musim panas lalu dan berharap dapat bertemu penyerang Uruguay itu apabila kedua-dua kelab bertemu pada pusingan keempat Piala FA, malam ini.
Suarez menarik minat beberapa kelab sebelum ini dengan kebanyakannya dari Liga Perdana Inggeris walaupun dia sedang menjalani hukuman penggantungan 10 perlawanan kerana menggigit lengan pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic.
Namun bekas pemain Ajax itu masih kekal di Liverpool dan sejak memenuhi hukuman penggantungan, dia sudah meledak 22 gol sepanjang 19 perlawanan sekali gus menyaksikan anak buah Brendan Rodgers terus bersaing sengit dalam saingan liga.
Elphick sedar betapa bagusnya Suarez tetapi mendedahkan dia lebih rela menjaga idolanya itu berbanding menyaksikan penggempur utama Reds itu sekadar memanaskan bangku simpanan di Stadium Goldsands.
Dengan rekod jaringan Suarez ketika ini, Elphick melabelkan pemain itu antara tiga pemain terbaik di dunia.
Ditanya pandangannya mengenai keputusan Suarez untuk kekal bersama Liverpool, Elphick berkata: “Bukan saja untuk Liverpool tapi untuk bola sepak Inggeris juga.
“Dia membuktikan mengapa Liga Perdana Inggeris adalah antara liga terbaik di dunia.
“Saya gembira jika dia bermain tapi kecewa jika dia sekadar berada di bangku simpanan.” - Agensi