
RONALDO (tengah) mempamerkan skil tinggi ketika menjaringkan gol buat Real untuk menewaskan Grenada 2-0, kelmarin.
MADRID - Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti memuji kehebatan anak-anak buahnya mengekalkan momentum kemenangan dalam saingan Liga Sepanyol setakat ini.
Kemenangan 2-0 ke atas Grenada hasil jaringan Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema di Stadium Santiago Bernabeu kelmarin berjaya memastikan kemenangan ketujuh berturut-turut tanpa bolos The Galacticos sejak 112 tahun yang lalu.
Ia juga memastikan Real kembali menerajui Liga Sepanyol buat kali pertama sejak Mei tahun lalu.
Namun, kedudukan itu dijangka berubah sekiranya dua pencabar terdekat, Barcelona dan Atletico Madrid mampu mengatasi lawan masing-masing awal pagi tadi.
Menurut Ancelotti, skuad kendaliannya berjaya mempamerkan aksi yang seimbang di segenap posisi.
"Telah lama saya mencari persembahan seperti ini sejak mengendalikan Real sejak Julai tahun lalu.
"Ini kali pertama jentera penyerang dan benteng pertahanan mempamerkan aksi yang seimbang dan benar-benar berkualiti.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pemain kerana memberikan yang terbaik sekali gus membawa pulang tiga mata berharga," kata Ancelotti.
Selain itu, Ancelotti juga memuji impak yang dicetuskan Luka Modric dalam perlawanan itu.
"Hantaran Modric sememangnya berkelas dunia. Dia semakin menyesuaikan diri dengan corak permainan Real dan mampu menguasai tempo permainan dengan berkesan," kata Ancelotti. - AFP
Kosmo.com.my