
MOYES (kiri) bergambar bersama Mata yang secara rasmi menyertai United kelmarin.
MANCHESTER - Pengurus Manchester United, David Moyes mengharapkan satu revolusi baharu ketika melayan kunjungan Cardiff City dalam aksi Liga Perdana England di Old Trafford awal pagi esok.
Masih segar dengan kejayaan mendapatkan pemain baharu, Juan Mata dengan harga £37.1 juta (RM203.7 juta), Moyes pasti mahu The Red Devils tampil lebih bertenaga selepas mengharungi permulaan musim ini dengan aksi yang cukup hambar.
Justeru, Moyes percaya kehadiran Mata mampu menyuntik moral pasukan selepas ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal ketika ini.
"Saya mahu membentuk pasukan yang mantap, hanya itu yang saya tahu dalam mengendalikan mana-mana pasukan.
"Sudah tentu saya mahu menang dan menggembirakan peminat, ia sesuatu yang tidak berjaya saya lakukan dalam tempoh kebelakangan ini.
"Saya memasang impian yang besar dan berharap Mata mampu membantu saya merealisasikannya," kata Moyes.
Mata, 25, sebelum ini menghabiskan masa bersama Chelsea selama dua musim selepas berhijrah dari Valencia pada 2011.
Dia yang tidak lagi mendapat kepercayaan pengurus Chelsea, Jose Mourinho merupakan pemain kedua yang dibeli Moyes musim ini selepas Marouane Fellaini dari Everton.
"United pasukan yang berprofil tinggi dan saya amat teruja beraksi bersama pasukan ini.
"Sudah tentu ia percaturan yang cukup besar, tetapi saya cukup yakin mampu memberikan yang terbaik.
"Selepas beberapa kali berdepan United sebagai pemain lawan, kini saya cukup berbangga dapat menyarung jersi mereka.
"Dengan sokongan padu peminat United, saya percaya saya mampu melakukannya," kata Mata. - AFP
Kosmo.com.my