
MESSI dikaitkan dengan PSG selepas Barcelona mendakwa tidak berminat untuk menyambung kontraknya yang akan tamat pada Jun 2018.
BARCELONA - Presiden baharu Barcelona, Josep Maria Bartomeu menegaskan bahawa Lionel Messi tidak akan dijual.
Bartomeu berkata, beliau sedang berunding dengan penyerang Argentina itu bagi menandatangani kontrak baharu bersama skuad The Catalan.
Masa depan Messi yang akan menamatkan kontraknya dengan Barcelona pada Jun 2018 menjadi topik perbualan hangat minggu ini.
Dia dikaitkan dengan Paris Saint Germain (PSG) selepas pendahulu Liga Perancis itu dilaporkan bersedia untuk membida bintang Barcelona tersebut.
Bartomeu membuat pendedahan itu selepas Naib Presiden Barca, Javier Faus mencetuskan kemarahan perancang berusia 26 tahun tersebut apabila mendakwa tiada sebab untuk mereka mengkaji semula perjanjian itu.
Bartomeu mengambil alih jawatan presiden daripada Sandro Rosell yang melepaskan jawatan itu pada Khamis lalu selepas mahkamah Sepanyol membuat siasatan terhadap penyelewengan dana bagi membeli Neymar daripada Santos.
Presiden berusia 50 tahun itu mendedahkan, beliau akan berusaha bagi mengekalkan Messi dan menjadikannya sebagai pemain bola sepak termahal di dunia.
"Kami akan duduk berbincang dengan ayah Messi bagi menjalankan rundingan menandatangani kontrak baharu dengan Barca.
"Kami tidak tergesa-gesa kerana kami mempunyai banyak masa tetapi kami akan melakukan apa yang terdaya untuk memastikan dia (Messi) menjadi pemain termahal dunia," katanya.
Bartomeu turut mengakui bahawa beliau telah cuba memujuk Rosell untuk terus kekal di Barca meskipun hangat dikaitkan dengan isu perpindahan Neymar.
"Sama seperti semua orang yang lain, saya menghabiskan masa sepanjang hari untuk memujuknya, namun ia tidak berjaya.
"Kami percaya bahawa kami telah lakukan kerja yang baik semasa beliau menjadi Presiden Barca sepanjang tahun lalu. Sekarang, apa yang boleh saya janjikan ialah Barca akan terus berkembang setiap hari," katanya lagi. - Agensi
Kosmo.com.my