Los Angeles: Kim Shin-Wook meledak jaringan tunggal ketika Korea Selatan menewaskan Costa Rica yang beraksi dengan sembilan pemain untuk mencatatkan kemenangan 1-0 kelmarin dalam aksi persahabatan antarabangsa di Los Angeles, menjelang saingan Piala Dunia.
Jaringan pemain tengah itu pada minit kesembilan ternyata sudah mencukupi untuk menamatkan perlawanan sengit sambil menyaksikan pemain Costa Rica, Christopher Meneses dilayangkan kad merah pada minit ke-68 dan Mauricio Castillo turut diarahkan meninggalkan padang selepas mendapat kad kuning kedua pada minit ke-84.
Kemenangan tipis itu memberikan permulaan yang baik untuk jelajah ke Amerika Utara yang turut membabitkan pertemuan menentang Mexico pada Rabu di San Antonio, Texas disusuli menentang Amerika Syarikat (AS) di Los Angeles pada 1 Februari.
Korea Selatan berada dalam Kumpulan H saingan Piala Dunia di Brazil bersama Belgium, Algeria dan Russia.
Costa Rica pula dalam Kumpulan D bersama Uruguay, England dan Itali.
-AFP
Hmetro.com.my