Seremban: Selepas dijulang selaku wira apabila menjaringkan kedua-dua gol bagi membantu Negeri Sembilan menewaskan DRB Hicom 2-1 dalam aksi pembuka tirai saingan Liga Perdana, Jumaat lalu, penyerang Jozef Kaplan bertekad untuk meneruskan persembahan terbaik dan meledak lebih banyak gol dalam perlawanan akan datang.
Jaringan pemain berusia 27 tahun berasal dari Slovakia itu membolehkan Negeri Sembilan memulakan kempen Liga Perdana musim ini dengan langkah kanan, namun cabaran lebih besar menanti skuad itu dalam aksi berikutnya selepas ini.
Namun bagi Kaplan, dia berpuas hati dengan kerjasama rakan sepasukan dalam aksi berkenaan yang membantu melorongkan bola bagi membolehkannya menyudahkan dengan baik sekali gus memastikan pasukan mencapai kemenangan pertama yang begitu berharga.
Dia mengakui kecewa kerana gagal membantu pasukan mara ke pusingan kedua Piala FA dan kini fokus perlu diberikan kepada saingan liga yang menjadi sasaran pasukan.
“Saya gembira kerana dapat menjaringkan gol dan memastikan Negeri Sembilan mencapai kemenangan dan meraih tiga mata pertama untuk memulakan kempen liga musim ini dengan keputusan memberangsangkan.
“Kemenangan yang dicapai ini sudah tentunya dalah hasil kerjasama semua rakan sepasukan dan semangat tinggi untuk menebus kekecewaan selepas tewas kepada FELDA United FC dalam kempen Piala FA, tempohari.
“Namun cabaran lebih besar bakal menanti tapi saya berazam untuk terus berusaha memberikan persembahan terbaik dan menjaringkan lagi gol dalam perlawanan akan datang, untuk memastikan dalam setiap perlawanan liga, kami tidak kehilangan mata berharga,” katanya.
Bekas penyerang Geylang United yang beraksi dalam Liga Singapura itu kini mengakui saingan dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) begitu mencabar dan mempunyai kelas tersendiri di mana setiap perlawananan tidak boleh dianggap mudah.
Dia yang baru pertama kali beraksi dalam Liga M percaya kemenangan Negeri Sembilan ke atas DRB Hicom itu akan menyuntik semangat dan keyakinan yang tinggi kepada pasukan untuk meneruskan persembahan terbaik dalam perlawanan kedua menentang PBAPP FC, di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam ini.
KAPLAN puas bantu NS langkah kanan musim ini.
Hmetro.com.my