LONDON - Chelsea seolah-olah tidak merasai pemergian Juan Mata ke Manchester United apabila menyambar pemain FC Basel, Mohamed Salah dengan kontrak selama lima tahun setengah kelmarin.
Pemain Mesir berusia 21 tahun itu bakal menyarung jersi bernombor 15 di Stamford Bridge.
Menurut Salah, dia gembira dengan perpindahannya ke The Blues yang merupakan kelab bertaraf dunia.
"Saya berharap dapat bermain baik di depan penyokong The Blues bagi meneruskan kecemerlangan karier bola sepak saya di masa akan datang," katanya di dalam satu kenyataan rasmi laman web Chelsea.
Salah telah lulus ujian saringan kesihatan serta beberapa terma lain pada Khamis lalu.
Pengurus The Blues, Jose Mourinho juga mengesahkan perpindahan itu sejurus selepas pasukannya menewaskan Stoke City dalam saingan keempat Piala FA dengan kemenangan 1-0 kelmarin.
Mourinho memberitahu, beliau kagum dengan corak serangan yang dimiliki Salah.
"Melihat persembahannya, dia seolah sudah boleh bermain bersama jentera serangan kami dengan memiliki kebolehan membuka ruang dari kiri, kanan dan di belakang penyerang.
"Dia muda, berbakat, kreatif, laju dan bersemangat semasa kami membuat analisis terhadapnya, dia dilihat mampu bekerjasama dengan semua pemain berdasarkan sifat rendah dirinya," kata Mourinho.
Salah pernah beraksi menentang Chelsea empat kali tahun lalu termasuk meledak tiga gol ketika membantu FC Basel melakar kemenangan dalam aksi kumpulan Liga Juara-Juara.
The Blues tidak mengumumkan jumlah yuran perpindahan sebenar Salah, namun media Britain melaporkan yuran perpindahan pemain antarabangsa Mesir itu kira-kira £11 juta (RM60.7 juta). - AFP
Kosmo.com.my