Milan: Napoli menanti kunjungan Chievo di San Paolo awal pagi esok dengan keyakinan kejuaraan Serie A masih boleh digapai sekalipun pendahulu Juventus menghuni singgahsana dengan selesa.
Juventus mendahului dengan lapan mata di depan pasukan tangga kedua AS Roma dan 12 mata berbanding Napoli dan akan menyaksikan mereka menjarakkan kedudukan berbanding Roma kepada 11 mata jika mereka menang ke atas Lazio awal pagi esok.
Bianconeri menang empat perlawanan terakhir di laman lawan di Lazio dan selepas 20 perlawanan musim ini, mereka kelihatan berada di landasan terbaik memenangi kejuaraan scudetto ketiga berturut-turut.
Pertahanan Napoli, Christian Maggio bagaimanapun tidak mahu mengaku kalah dan berharap anak buah Antonio Conte merosot dalam baki 18 perlawanan terakhir.
“Jurang 12 mata di belakang pendahulu adalah besar, tapi anda tidak boleh berkata tidak dalam bola sepak,” jelas Maggio.
“Sudah tentu Juve kelihatan sukar digugat ketika ini, tapi kami boleh mengejar Roma... kami tidak boleh berputus asa.”- AFP