DRAMA membabitkan sebahagian pemain skuad bola sepak Kuala Lumpur yang didakwa terlibat dengan isu rasuah dilihat masih belum ternoktah.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abdul Razak berkata, keputusan sama ada pemain-pemain terbabit didapati bersalah ataupun tidak hanya akan diketahui pada 3 Februari depan.
Ini kerana menurut beliau, masih banyak perkara yang perlu diteliti pihaknya termasuk kenyataan beberapa pegawai Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) selain perlu mempertimbangkan rayuan mana-mana 17 pemain yang telah tampil membantu keterangan setakat ini.
“Masih belum ada keputusan, jadi kena tunggu 3 Februari.
“Buat masa ini, kesemua proses keterangan pemain berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Pada mulanya, pihak kami menjangkakan segala-galanya selesai hari ini (semalam).
“Namun, kami perlu menyemak fakta kes setiap pemain terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman termasuk mungkin ada dalam kalangan pemain mengemukakan rayuan.
“Jadi, saya tidak boleh mengulas lanjut termasuk sama ada mereka (pemain) terbukti bersalah ataupun tidak,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Seramai empat lagi pemain Kuala Lumpur tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan semalam iaitu Muhammad Syafiq Johari, Mohd. Munir Amran, Muhammad Taufiq Mohd. Shukor dan Ahmad Jihad Ismail.
Antara pemain yang telah dipanggil bagi membantu siasatan sebelum ini termasuklah Muhamad Rafeef Raya, Mohd. Badrul Hisyam Azmi, Mohamad Ar’Rauf Roslee, Hishamuddin Othman, Muhammad Hanis Mohtar, Ahmad Dashila Tajudin, Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J. Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S. Sivaraj dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor.
Ketika ditanya mengapa Azizon dilihat turut hadir sekali lagi di Wisma FAM semalam, jelas Taufek, ia merupakan prosedur biasa kerana pada mulanya pihaknya menjangkakan segala-galanya selesai semalam.
“Persoalan sama ada bookie sudah dikenal pasti juga saya belum boleh dedahkan, jadi tunggu 3 Februari,” kata beliau.
Untuk rekod, lima pemain Kuala Lumpur yang sebelum ini didapati bersalah terbabit dengan gejala rasuah dan mengatur perlawanan adalah Fadhullah Yunsifar, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie, Jeremy Danker dan Hafizi Rosle. Mereka didenda sebanyak RM20,000 dan digantung seumur hidup.
Ketua jurulatih dari Slovakia, Stanislav Lieskovsky, penolong pengurus Rosli Omar dan pegawai pasukan, Saari Jani pula antara tiga pegawai yang disabitkan kesalahan dan turut menerima hukuman serupa pada 20 Disember tahun lalu.
Kosmo.com.my