Wednesday, 22 January 2014

T-Team Nyaris Diaib UiTM FC

JURULATIH T-Team, Mohd. Azraai Khor Abdullah (gambar) belum mampu tersenyum bangga biarpun anak-anak buahnya melakar kemenangan 3-2 ke atas UiTM FC pada pusingan pertama Piala FA di Stadium UiTM, Shah Alam semalam.

Azraai menegaskan, skuad kendaliannya tidak memberikan fokus 100 peratus di tengah padang selain sering alpa dengan setiap gerakan UiTM FC yang hampir memalukan skuad The Titans itu.
“Kalau mereka (UiTM) boleh menyamakan kedudukan, masalah besar buat kami.
“Pada aksi separuh masa pertama, kami berjaya mendahului tiga gol tetapi kealpaan para pemain, menjadi punca mengapa gawang kami dibolosi dua gol pada babak kedua.
“Jelas ia menunjukkan satu petanda yang kurang baik. Kami bolos dengan gol mudah dan kami tidak boleh mengulangi kesilapan itu pada perlawanan akan datang,” kata Azraai ketika dihubungi Kosmo! semalam.
T-Team selesa mendahului hasil dua jaringan Elvado Rodrigues Goncalves Cardoso pada minit ketiga dan 22 serta Fabio Flor De Azevedo (34).
Begitupun, rentak T- Team seakan-akan tidak menjadi apabila gawang mereka dibolosi dua gol menerusi Charles Obiikechukwu pada minit ke-50 dan Adam Othman (67).
Namun, Azraai akhirnya boleh menarik nafas lega apabila keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, jurulatih UiTM FC, Azuan Zain berkata, skuad kendaliannya terlalu menghormati pasukan lawan yang dianggap menjadi punca kekalahan tersebut.
“Pada separuh masa pertama, kami terlalu menghormati T-Team sehingga dibolosi dua gol awal. Kami cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi gagal untuk memintas kedudukan mereka.
“Kini kami mahu menumpukan tumpuan kepada Liga Premier selepas terkandas awal dari saingan Piala FA,” katanya.
The Titans bakal berdepan Johor Darul Takzim dalam pusingan kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 4 Februari depan.

Kosmo.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets