
SPORTING Lisbon akan membuat perhitungan dengan skuad B-16 Slovakia pada aksi separuh akhir Piala Antarabangsa Frenz B-16 2014 di Stadium Frenz Janda Baik, Pahang esok.
YOGJAKARTA, Indonesia - Naib juara Kumpulan B, Sporting Lisbon tetap merendah diri menjelang pertemuan berdepan skuad Bawah 16 (B-16) Slovakia pada aksi separuh akhir Piala Antarabangsa Frenz B-16 2014 di Stadium Frenz Janda Baik, Pahang esok.
Pengendali Sporting, Pedro Goncalves berkata, skuad B-16 Slovakia pastinya menjadi pasukan pilihan berdasarkan reputasi selaku juara bertahan selain muncul juara Kumpulan A.
Menurut Goncalves, beraksi di Malaysia juga bakal memberikan kelebihan buat pasukan lawan dalam usaha memburu tiket ke pentas final.
"Pemain-pemain saya agak kepenatan ekoran jadual peringkat kumpulan yang padat selain perlu melalui penerbangan ke Malaysia.
"Ia berbeza dengan skuad B-16 Slovakia yang memiliki tempoh rehat yang mencukupi kerana mereka beraksi di Malaysia pada peringkat kumpulan sebelum ini.
"Meskipun mereka dianggap pasukan pilihan, saya tetap berharap anak-anak buah saya memberikan yang terbaik," kata Pedro.
Pedro memberitahu, beliau belum mengetahui kekuatan sebenar skuad B-16 Slovakia.
Namun, jelas beliau, aksi sengit ekoran perbezaan mata yang tidak ketara dalam Kumpulan A sudah menceritakan segala-galanya.
"Satu lagi pasukan tuan rumah (Frenz United Malaysia) juga tidak dapat mara ke separuh akhir biarpun mengutip 10 mata.
"Jadi, saya percaya ia satu pertemuan yang cukup sengit," katanya.
Pada kejohanan kali ini, skuad kendalian Pedro menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan sekali tewas.
Selepas mengatasi Eintracht Frankfurt 3-1 dalam aksi pembuka tirai kumpulan, Sporting kemudiannya tewas 0-3 kepada skuad B-16 Iran sebelum kembali bangkit menewaskan Frenz United Indonesia (3-1) dan Chonburi FC (4-3).
Kosmo.com.my