Kuala Lumpur: Jurulatih Pahang Ronald Smith tidak berani mengambil risiko untuk menurunkan Dickson Nwakaeme bagi pertemuan dengan Selangor esok walaupun khidmat pemain import Nigeria itu amat penting bagi memantapkan jentera serangan yang dilihat hambar ketika tewas 1-0 di tangan Sime Darby FC pada aksi Liga Super kelmarin.
Selepas memulakan kempen liga dengan bergaya apabila mengalahkan juara bertahan LionsXII 1-0 pada aksi Sumbangsih pada 17 Januari lalu, skuad Tok Gajah gagal beraksi baik dan membenarkan Sime Darby mengutip tiga mata di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Bagi Smith, beliau tidak mahu menjadikan jadual padat sebagai alasan kekalahan itu sebaliknya mengakui pemainnya gagal beraksi pada tahap sebenar dan banyak mensia-siakan peluang.
“Memang jadual padat tapi semua pasukan berdepan situasi yang sama.
Beraksi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari memang sukar tapi saya membuat beberapa pertukaran pemain dalam pasukan.
Kami mencipta beberapa serangan tapi pemain gagal membuat hantaran yang tepat jadi tiada alasan jika anda melepaskan peluang untuk menghasilkan gol,” katanya.
Kami mencipta beberapa serangan tapi pemain gagal membuat hantaran yang tepat jadi tiada alasan jika anda melepaskan peluang untuk menghasilkan gol,” katanya.
Kekalahan itu menyebabkan skuad juara Piala Malaysia itu tergelincir ke tangga kesembilan liga selepas dua perlawanan dan berdepan tugas mencabar untuk bangkit apabila melayan kunjungan Selangor di Stadium Darul Makmur esok.
Gandingan penyerang Matias Conti dan Mohd Azamuddin Akil kurang menjadi dalam perlawanan itu namun Smith bakal mempertaruhkan pemain yang sama apabila Nwakaeme masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring yang dialami pada perlawanan Sumbangsih.
“Dickson tidak boleh beraksi menentang Selangor, memang dia semakin pulih tapi saya tidak berani mengambil risiko dengan kecederaan hamstring.
Jika anda silap, kecederaannya akan bertambah buruk.
Saya rasa dalam tempoh 10 hingga 14 hari lagi dia baru boleh bermain semula,” katanya.