Rome: Penyerang Juventus Fernando Llorente berusaha untuk memburu tempat dalam skuad Sepanyol ke Piala Dunia selepas memperagakan persembahan mantap dalam Serie A.
Pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan gol kesembilan liga musim ini apabila menanduk hantaran silang Stefan Lichtsteiner yang menyaksikan Juventus menamatkan perlawanan dengan 10 pemain terikat 1-1 menentang Lazio, awal pagi semalam dan melebarkan kedudukan teratas liga kepada sembilan mata.
“Ia hantaran yang bagus kerana Stefan mampu melakukan hantaran silang dan inilah yang kami perlu lakukan.
Ia sesuatu yang kami gagal lakukan pada separuh masa pertama,” kata Llorente.
“Saya perlu membawa bola ke bahagian depan gol, di mana ia bukanlah sesuatu yang mudah.” Sejak berada di Turin, meninggalkan Athletic Bilbao penghujung musim lalu, Llorente sudah membuktikan kemampuannya sebagai sebahagian daripada pilihan utama pengendali Juventus Antonio Conte untuk berada di jentera serangan bergandingan bersama Carlos Tevez selepas mengharungi permulaan yang sukar.
Dia jarang beraksi pada awal musim kerana terpaksa mengambil tempoh berminggu bagi mencapai tahap cergas untuk perlawanan selepas disisihkan pengurus Bilbao Marcello Bielsa musim lalu apabila enggan menandatangani perjanjian baru bersama kelab Basque itu, yang menyaksikan dia kebanyakannya digunakan sebagai pemain gantian.
Selepas mempamerkan persembahan buruk berterusan, terdapat spekulasi Juventus akan cuba mengurangkan kerugian dan menjual penyerang pada jendela perpindahan bulan ini namun Conte tetap bertegas dengan pemain yang ditandatanganinya.
“Dia tidak beraksi untuk tempoh setahun dan memerlukan masa untuk kembali mendapat prestasi terbaik, intensiti yang diperlukan dan karakter agresif di padang.
Apabila anda tidak beraksi, anda akan kehilangan perkara seperti ini,” kata Conte pada September.
Apabila anda tidak beraksi, anda akan kehilangan perkara seperti ini,” kata Conte pada September.
Pengendali Juve itu membuktikan kewajaran terhadap usahanya itu apabila Llorente membawa skuad kendaliannya semakin hampir menjulang kejuaraan scudetto buat kali ketiga berturut-turut dan berusaha untuk mendapat tempat dalam skuad Sepanyol kendalian Vicente Del Bosque untuk ke Piala Dunia di Brazil pertengahan tahun ini -Reuters
Hmetro.com.my