Saturday, 25 January 2014

' Kami Tetap Hormati LionsXII '

Kuala Lumpur: Pemain tengah Selangor Mohd Fitri Shazwan Raduwan mengingatkan rakan sepasukan agar tidak sesekali memandang rendah keupayaan juara bertahan Liga Super, LionsXII walaupun lawan kehilangan sebahagian besar tonggak utama musim ini.

Antara pemain berkaliber yang meninggalkan LionsXII termasuk kapten pasukan Shahril Ishak, Hariss Harun dan Baihakki Khaizan dengan skuad kendalian Fandi Ahmad itu mempertaruhkan ramai muka baru.

Malah cabaran dan tentangan yang bakal diberikan LionsXII di Stadium Jalan Besar dijangka lebih sukar berbanding ketika menewaskan T-Team dan Harimau Muda C sebelum ini.
“Kami tetap menghormati mereka walaupun dibarisi pemain berbeza terutamanya pemain muda berusia 23 tahun. Malah mereka akan tampil di gelanggang sendiri, itu yang perlu kami serap dengan pantas malam esok (malam ini) bagi membolehkan kami meneruskan kemenangan,” kata pemain sayap kiri Merah Kuning itu.

Pemain paling senior dalam skuad kendalian Mehmet Durakovic itu bagaimanapun menegaskan mereka tetap mempunyai kelebihan tersendiri selepas merekodkan dua kemenangan berturut-turut musim ini, menewaskan T-Team dalam aksi Liga Super dan Harimau Muda C, pusingan pertama Piala FA.

“Kekuatan kami semangat berpasukan tinggi di kalangan pemain. Itu yang memainkan peranan penting untuk mencipta kemenangan,” katanya.
Mengenai persembahannya sendiri, pemain kelahiran Petaling Jaya itu masih belum berpuas hati dengan sumbangan kepada pasukan dan mahu memperbaikinya agar terus diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama.

Saingan di bahagian sayap Selangor sememangnya sengit dengan ramai pemain mampu beraksi pada bahagian itu seperti A Thamil Arasu, Ahmad Hazwan Bakri, S Kunanlan dan Raimi Mohd Noor dengan prestasi yang tidak konsisten boleh menyebabkan pemain tersisih.
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets