Saturday, 25 January 2014

Perak Guna Ramuan Baru

Ipoh: Perak akan melakukan rombakan dalam usaha mengimbangi kemampuan pasukan itu bagi menghadapi Terengganu dalam saingan Liga Super di Ipoh, malam ini.

Kecederaan tonggak benteng, Martin Kafando memaksa jurulatih Abu Bakar Fadzim membuat percaturan baru bagi mengekalkan pasukan The Bos Gaurus dalam perlawanan kedua liga.

“Kafando tidak dapat beraksi selepas cedera ketika menentang Pahang, Selasa lalu manakala Nasir (Basharuddin) tidak sempat pulih daripada kecederaan.
“Saya akan buat sedikit rombakan untuk menampung kekosongan ditinggalkan Kafando,” katanya.

Jurulatih yang lebih dikenali sebagai Burn itu bagaimanapun mampu menghela nafas lega apabila mendapat kembali khidmat bek kiri, Mohd Raffi Nagoorgani selepas menjalani penggantungan satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (DT) pada 18 Januari lalu.

“Saya punyai banyak pilihan kali ini kerana Raffi dapat diturunkan semula,” katanya selepas latihan.
Abu Bakar juga membayangkan kemungkinan menurunkan dua penyerang import iaitu Zelemir Terkers dan Eliel Da Cruz Guardino dalam usaha memantapkan lagi jentera serangannya. Jurulatih itu berkata selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut, pemain Seladang mahu merakam keputusan baik malam ini.

Sehubungan itu beliau berharap pemainnya akan turun dengan komitmen tinggi dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap misi memburu mata penuh.
Beliau turut mengingatkan anak buahnya mengenai keupayaan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim yang dijangka tampil dengan semangat tinggi selepas dua kejayaan berturut-turut.
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets