London: Chelsea mendedahkan mereka dijangka memenangi perebutan mendapatkan khidmat pemain sayap Mesir, Mohamed Salah dari FC Basel dalam satu usaha yang mampu mempercepatkan pemergian Juan Mata ke Manchester United.
Pengurus Blues, Jose Mourinho menjadikan Salah sasaran utamanya menggantikan perancang tengah Sepanyol, Mata yang dijangka menyertai United dan beliau semakin hampir berjaya memujuk pemain berusia 21 tahun itu berpindah ke London di sebalik minat mendalam ditunjukkan Liverpool.
Chelsea sudah bersetuju dengan bayaran perpindahan Salah bersama kelab Switzerland dan pemain Mesir itu yang menjaringkan 17 gol dalam 27 penampilan buat negaranya, akan melengkapkan perpindahan ke kelab Liga Perdana itu bergantung kepada persetujuan mengenai terma peribadi dan lulus pemeriksaan perubatan.
“Chelsea mengesahkan sudah bersetuju dengan FC Basel bagi perpindahan pemain tengah mereka Mohamed Salah,” menurut satu kenyataan dalam laman web kelab itu, semalam.
Sekiranya perjanjian itu yang dilaporkan bernilai £10 juta (RM55 juta) dilengkapkan segera, Salah mungkin akan melakukan penampilan sulung pada pusingan keempat Piala FA menentang Stoke di Stamford Bridge, awal pagi Isnin ini.
Salah, yang dibandingkan sesetengah pihak setaraf dengan bintang Barcelona, Lionel Messi, akan menjadi pembelian ketiga Chelsea pada pintu perpindahan pemain bulan ini berikutan kehadiran Bertrand Traore dan Nemanja Matic.
Mourinho memutuskan untuk membeli Salah selepas kagum dengan persembahannya buat Basel dalam dua kemenangan ke atas Chelsea pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini.
Salah menjaringkan gol dalam tiga daripada empat pertemuan terakhir kelab Switzerland itu dengan Chelsea, satu gol dalam setiap perlawanan Liga Juara-Juara musim ini dan turut menyumbat gol pada separuh akhir kedua Liga Europa tahun lalu ketika Blues dikendalikan Rafael Benitez. - AFP