
MATA memberikan keutamaan kepada United sebelum memikirkan aksi dengan skuad kebangsaan Sepanyol.
MANCHESTER - Juan Mata berharap perpindahan sensasi ke Manchester United baru-baru ini mampu menjamin tempatnya dalam skuad kebangsaan Sepanyol pada pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil, Jun depan.
Kedudukan Mata dalam skuad The Matadors semakin terjejas selepas dia gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Chelsea.
Situasi itu memaksa Mata berhijrah ke United dengan yuran perpindahan sebanyak £37.1 juta (RM204.8 juta), sekali gus mencerahkan semula peluang beraksi di pentas Piala Dunia 2014.
"Sudah tentu Piala Dunia 2014 menjadi impian semua pemain.
"Seperti semua sedia maklum, pemilihan skuad kebangsaan Sepanyol cukup sengit dan sudah tentu saya diketepikan jika gagal beraksi dengan kerap dalam kesebelasan utama.
"Jadi, saya akan berjuang bermati-matian supaya nama saya dimasukkan dalam senarai 23 pemain terakhir yang akan beraksi di Brazil nanti," kata Mata.
Bagaimanapun, Mata mengakui bahawa ketika ini dia lebih memberikan keutamaan untuk membantu United bangkit dalam saingan liga domestik.
"Saya kini pemain United dan memiliki tugas yang cukup besar.
"Ada baiknya saya kekal fokus untuk memberikan yang terbaik bersama United.
"Saya yakin, peluang saya untuk beraksi pada kempen Piala Dunia 2014 tetap cerah," kata Mata.
Sementara itu, Mata mengakui, dia tidak mahu memanjangkan persengketaan dengan pengurus Chelsea, Jose Mourinho.
"Mourinho seorang pengurus yang hebat, namun saya kecewa apabila segala-galanya tidak memihak kepada saya dalam tempoh enam bulan terakhir ini," katanya.- AFP
Kosmo.com.my