![]()
HENDERSON (kanan) mendesak para pemain Liverpool supaya bermain lebih agresif bagi mengawal kubu pertahanan pasukan itu daripada dibolosi.
|
LIVERPOOL - Pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson mendakwa masalah di posisi pertahanan mampu menggugat impian skuad The Reds untuk beraksi pada kempen Liga Juara-Juara musim depan.
Masalah itu dapat dilihat dengan jelas selepas skuad kendalian Brendan Rodgers kehilangan mata berharga buat kali kedua di Anfield setelah seri 2-2 dengan Aston Villa pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu.
Selain itu, Rodgers mengakui, beliau tersilap membuat percaturan yang menyebabkan Liverpool ketinggalan 0-2 dan terpaksa menukar formasi pasukan itu.
Begitupun, Henderson berkata, para pemain Liverpool perlu bertindak lebih agresif untuk mengawal kubu pertahanan daripada dibolosi pemain lawan.
"Kami perlu bertahan sebagai sebuah pasukan. Ia tidak semestinya mengenai barisan pertahanan dan penjaga gol tetapi semua pemain. Saya pasti, kami mampu memperoleh sesuatu jika semua pemain bekerjasama.
"Kami sangat kecewa kerana kami telah meletakkan sasaran untuk menang dalam setiap perlawanan.
"Sangat malang apabila ia tidak dapat dipenuhi. Namun, kami mempamerkan karakter yang positif dan bangkit untuk memburu gol selepas ketinggalan 0-2.
"Kami telah membuktikan bahawa kami tidak boleh dikalahkan. Villa menang 3-1 dan kami juga tewas kepada Stoke pada musim lalu. Jika anda lihat Liverpool ketika ini, ia merupakan satu peningkatan yang baik," katanya.
Sementara itu, kapten skuad The Reds, Steven Gerrard yang bermain di posisi baharu sebagai pemain tengah bertahan mengakui, gagal mengekang asakan daripada pemain-pemain Villa.
"Saya bermain di posisi tengah menyerang lebih daripada 10 tahun. Jadi, untuk posisi baharu ini, saya menjadi pemain yang lebih banyak mengawal bola.
"Ia tidak begitu menjadi untuk saya dan juga pasukan. Mereka (Villa) meletakkan ramai pemain untuk mengawal saya. Setiap kali saya mengawal bola, mereka akan mengepung saya dan ia menyukarkan saya untuk bergerak dengan baik.
"Saya akui ia bukan salah satu permainan terbaik saya sepanjang tempoh 45 minit pertama tetapi selepas rehat, permainan saya bertambah baik," katanya. - Agensi
Kosmo.com.my