
RIBERY (kanan) menganggap dia lebih layak untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia 2013 berdasarkan kejayaan yang dicapai sepanjang tahun lalu.
LONDON - Pemain sayap Bayern Munich, Franck Ribery mendakwa penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo tidak layak untuk dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia (Ballon d'Or) 2013.
Ribery berkata, dia lebih berhak untuk menerima anugerah tersebut berdasarkan kejayaan yang diperoleh dengan Bayern sepanjang tahun lalu.
Ronaldo berjaya menewaskan Ribery dan bintang Barcelona, Lionel Messi untuk dijulang sebagai Pemain Terbaik Dunia 2013 buat kali kedua selepas tahun 2008.
Begitupun, Ribery menganggap gelaran itu patut menjadi miliknya berdasarkan pencapaian bersama Bayern musim lalu.
"Saya menang segala-galanya bersama pasukan dan secara individu. Ronaldo langsung tiada menang apa-apa.
"Pada pendapat saya, saya lebih berhak untuk menerima anugerah tersebut, Ia semua lebih kepada politik," bidas Ribery.
Ribery membantu Bayern memenangi trofi Liga Jerman, Liga Juara-Juara, Piala Super Eropah, Piala Kelab Dunia dan Piala Jerman musim lalu, manakala bintang Portugal itu meledakkan 66 gol sepanjang 56 penampilan bersama Real tetapi gagal memenangi sebarang trofi.
Ketika ditanya adakah dia masih menaruh harapan untuk memenangi anugerah tersebut pada tahun hadapan, Ribery berkata: "Saya sudah hilang minat dengan anugerah Ballon d'Or."
Ribery memberikan komen itu ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan melanggan pelacur bawah umur bersama dengan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Perancis, Karim Benzema.
Namun, Ribery dan Benzema tidak akan menghadiri perbicaraan itu.
Ribery mengaku melanggan seorang pelacur yang kini menjadi model fesyen, Zahia Dehar pada tahun 2008 dan 2009 ketika wanita itu berusia 16 dan 17 tahun.
Begitupun, Ribery berkata, dia tidak tahu usia sebenar wanita itu, manakala Benzema menafikan tuduhan melakukan seks dengan Dehar. - Agensi
Kosmo.com.my