Liverpool: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers mendakwa satu mata yang diperoleh ketika seri 2-2 dengan Aston Villa dilihat sebagai tanda peningkatan mereka musim ini.
Villa mendahului 2-0 pada pertembungan Liga Perdana di Anfield menerusi gol Andreas Weimann dan Christian Benteke, tapi Liverpool bangkit untuk mengutip satu mata.
Daniel Sturridge merapatkan kedudukan sebelum tamat babak pertama dan Luis Suarez kemudian mendapatkan sepakan penalti kontroversi untuk Liverpool yang disempurnakan kapten, Steven Gerrard.
Rodgers yang melihat keputusan itu dari segi keseluruhan kempen ini sebagai cukup penting buat Liverpool yang kini menduduki tangga keempat liga dan masih bersaing untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara.
“Keputusan itu menunjukkan usaha keras yang kami lakukan. Kami bermain menentang Stoke dan Aston Villa tahun lalu pada tempoh yang sama dan gagal mendapat sebarang mata apabila kalah kedua-dua perlawanan,” kata Rodgers.
“Kali ini kami mendapat empat daripada enam mata. Mata itu sangat penting untuk kami.
“Ia juga membuktikan kekuatan mental pasukan ini walaupun tidak beraksi pada tahap terbaik tapi masih boleh mendapat keputusan baik. Ia boleh dianggap keputusan yang baik selepas ketinggalan 0-2.
“Kami sukar untuk melancarkan serangan dan mendapat rentak dalam perlawanan itu. Kami gagal mempamerkan permainan sebenar, tapi pada separuh masa kedua kami mempamerkan semangat juang yang tinggi.
“Kami tidak berada di tahap terbaik, tapi ia penting untuk mendapat sesuatu daripada perlawanan itu. Kami sekali lagi membuktikan karakter hebat untuk mencipta kebangkitan.” Rodgers turut memberi penjelasan mengenai detik kontroversi perlawanan itu apabila Suarez dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh penjaga gol Villa, Brad Guzan dan pengadil Jon Moss menghadiahkan penalti buat Liverpool.
Ulang tayang di televisyen tidak memberi gambaran tepat sama ada Guzan ada mengasari penyerang Uruguay itu.
“Ia sememangnya penalti,” kata Rodgers. “Bila anda melihat dengan teliti, lengan kiri penjaga gol terkena kaki Luis Suarez.
“Saya juga fikir kami tidak bernasib baik kerana tidak mendapat satu lagi sepakan penalti apabila tangan terkena bola Leandro Bacuna.”