
Paolo Rangel (kanan) dan Stilianos Pantelidis (dua, kanan) melakukan percubaan buat Selangor dalam perlawanan Liga Super menentang T-Team di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam. - MINGGUAN/AZLIZA HAILANI
PETALING JAYA - Jika ada pihak meragui kemampuan Selangor pada musim ini, kemenangan 2-0 ke atas T-Team di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam membuktikan Red Giants ada ramuan tersendiri untuk menjadi antara pencabar utama Liga Super 2014.
Ayam tambatan terbaru Selangor, Paolo Rangel yang merupakan bekas penyerang Perak menyumbangkan kedua-dua gol tuan rumah dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 15,000 penonton pada minit ke-63 dan 70 bagi memberikan permulaan baik kepada jurulatih baru, Mehmet Durakovic.
Tanpa kehadiran Andik Vermansah, A. Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri, Selangor tampak tetap berbisa dengan kehadiran pemain import Brazil, Junior Aparecido selain larian pantas S. Kunanlan sering kali mengancam kubu pertahanan T-Team sepanjang permainan.
Biarpun mengasak berulang kali ke arah kubu T-Team melalui peluang terhidang yang dimiliki Rangel dan Junior, skuad kendalian Mohd. Azraai Khor boleh menarik nafas lega apabila mampu mengikat Red Giants seri tanpa jaringan pada babak pertama selepas hanya mampu bertahan di dalam kawasan sendiri.
Namun, segala kebuntuan itu akhirnya dipecahkan apabila Selangor memperolehi jaringan pertama berpunca daripada situasi kelam kabut di dalam kotak penalti sebelum Rangel menanduk masuk ke dalam gawang T-Team ketika penjaga gol, Mohd. Shahril Sa'ari sekadar terpaku memerhati bola yang masuk.
Kemasukan Abdul Hadi Yahaya yang menggantikan Abdul Shukor Jusoh, membuka ruang kepada Rangel untuk mendapatkan gol kedua selepas hantaran silang dari sebelah kanan tepat menuju di atas kepala pemain dari Brazil itu dan dia sekali membuktikan tandukannya cukup berbisa apabila mudah menewaskan Shahril tanpa dicabar oleh mana-mana pertahanan lawan.
Tiga mata penuh dalam perlawanan pertama itu ternyata menceriakan Durakovic yang mengakui masih banyak lagi boleh diberikan oleh pasukannya ekoran beberapa pemain masih tidak diturunkan pada aksi sulung Liga Super.
''Persembahan yang begitu baik berjaya ditunjukkan oleh semua pemain walaupun kita mungkin boleh mendapatkan dua atau tiga gol lagi kerana banyak mencipta peluang, tiga mata yang lebih mustahak.
''Aksi pemain di bahagian sayap memberikan kelebihan kepada kami pada hari ini (semalam) kerana sentiasa mencipta gerakan berbahaya dan memberi tekanan kepada pertahanan lawan.
''Pasukan kita bukannya terdiri daripada pemain bintang cuma kerjasama berpasukan selain mempamerkan komitmen di atas padang menjadi kunci kejayaan kami pada petang ini, " katanya.
Utusan.com.my