Saturday, 18 January 2014

Bukan Superstar

Kelibat Pablo Aimar akan disaksikan di Stadium Larkin, Johor Bahru malam ini apabila dia dijangka turun beraksi mewakili Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Perak pada saingan Liga Super Malaysia 2014.

Kehadiran bekas pemain Benfica itu pasti mengembalikan kenangan peminat yang pernah menyaksikan aksinya di stadium sama 17 tahun lalu. Ikuti temu ramah 5 Minit pemain itu ketika berbicara mengenai kehidupan barunya bersama pasukan bergelar Harimau Selatan.  
S: Bagaimana anda melihat suasana negara ini selepas datang buat kali kedua dan anda kini bergelar pemain JDT? 

J:
 Kali pertama menjejak kaki ke negara ini 17 tahun lalu, hati saya sudah terpaut dan berazam untuk datang kembali ke sini.
Foto

Hasrat berhijrah tercapai apabila dilamar Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dan beliau mengharapkan saya dapat memantapkan skuad JDT. Saya ke sini bersama rakan senegara, Luciano Figueroa. Pasukan dalam ‘pembinaan’ ini berpotensi mara lebih jauh kerana pendekatan dan mentaliti baru yang sudah diterapkan.


S: Selain bola sepak, apa perkara lain mahu dibuat di sini? 

J:
 Malaysia negara menarik! Masyarakatnya peramah dan di mana-mana saja orang senyum. Saya suka Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Saya mahu terus mengenali negara ini serta budaya yang terdapat di sini. Cuaca memang lebih panas tetapi itu tidak menjadi masalah kerana di negara empat musim, kami turut melalui musim panas yang sama. 


S: Apa anda lihat terhadap pasukan JDT dan jurulatih baru JDT dari Elche CF, Cesar Ferrando Jimenez? 

J:
 Sudah tentu belajar idea baru permainan dari jurulatih baru (Jimenez). Bukan saya saja, rakan sepasukan lain juga dapat berkongsi pengalaman bersama. Kelompok pemain sekarang bagus dan berkemahiran teknikal. Bagi saya, mana-mana pun bola sepak, sesebuah pasukan bermain 11 orang dan sikap mahu menang penting. Permukaan dan rumput padang berbeza, permainan di Sepanyol dan Portugal lebih pantas tetapi permainan laju bukan bermakna lebih bagus kerana ada masa aksi perlahan lebih baik. 


S: Kenangan manis tentunya menjaringkan gol kemenangan Argentina menewaskan England diwakili pemain Liverpool, Jamie Carragher pada Piala Dunia Remaja Fifa 1997 di Johor Bharu? 

J:
 Ya...masih segar dan ia berlaku di sini (Stadium Larkin)! Saya meminati River Plate, bermain dalam Liga Eropah bersama Villareal dan Benfica sebelum ini tetapi sekarang pasukan saya JDT. Saya diterima baik di sini, ramai orang masih ingat saya. Saya sampai di hotel, mereka memanggil dan mahu bergambar dengan saya, itu bermakna mereka ingat. Terima kasih. 


S: Apakah JDT ada ‘aura’ membantu mencapai impian bergelar juara? 

J:
 Ya, ada beberapa pemain bagus dan lasak. Saya tidak perlu namakan mereka kerana Malaysia ada pemain bagus, stadium bagus dan pelbagai makanan sedap yang saya tidak tahu apa namanya. Mereka mesti manfaat peluang dan perbaiki kelemahan satu demi satu dan cuba mendapat keputusan terbaik. 


S: Ramai pemain bola sepak merasakan diri mereka ‘bintang’? Adakah anda datang ke JDT dan merasakan diri anda seorang ‘superstar’? 

J:
 Saya manusia, saya minum air seperti orang lain. Saya bermain bola dan orang lain juga bermain bola untuk kehidupan. Saya bukan superstar, saya berada di sini kerana mahu menimba pengalaman tempat baru. Saya berhijrah kerana mahu mengenali bola sepak di tempat lain. 


S: Argentina terkenal dengan bola sepak, apa yang terlintas di fikiran mengenai Malaysia?

J:
 Setiap kanak-kanak Argentina bermain bola sepak sejak kecil dan padang satu keperluan. Argentina tiada pemain badminton berkelas dunia seperti Malaysia, tiada atlet gimnas berkelas dunia seperti China dan tiada pasukan besbol bertaraf dunia seperti di Amerika Syarikat. Anda perlu realistik dengan perbezaan dan kecenderungan sukan setiap negara. 


S: Apakah jenis muzik yang anda gemari dan perlukah pemain hebat seperti anda menghadiri latihan harian? 

J:
 Muzik menenangkan jiwa, saya mendengar semua jenis muzik walaupun Argentina terkenal dengan Tango. Latihan adalah rutin pemain profesional. Saya bangun sebelum jam 7 pagi dan datang padang jam 8 pagi. Disiplin tetap disiplin, tiada alternatif lain jika hendak berjaya.
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets