Kuantan: Kepercayaan yang diberikan pengurusan Pahang untuk terus mengekalkan khidmat selaku kapten skuad Tok Gajah musim 2014 ternyata memberikan suntikan semangat buat Jalaluddin Jaafar.
Dengan faktor usia yang mencecah 39 tahun tahun, amanah yang dipertanggungjawabkan itu akan dilaksanakan dengan sepenuh hati bagi mencipta kejayaan lebih besar musim ini.
Sebagai pemain yang sudah menabur bakti bersama Pahang sejak 1997, Jalaluddin berkata, kepercayaan itu memberikan lebih kekuatan bukan saja kepadanya malah rakan lain juga diharap membantu memperkasakan skuad Tok Gajah musim ini.
Menurutnya, ini kerana musim 2014 di anggap paling mencabar buat skuad kendalian Ronald Smith memandangkan semua pasukan membariskan pemain terbaik mereka.
“Sebenarnya saya terharu kerana pengurusan masih memberikan tanggungjawab besar ini selaku kapten kerana saingan getir akan ditempuh Pahang musim ini.
“Saya percaya dengan gelaran juara Piala Malaysia, sudah pasti semua pasukan akan berusaha mencatat kemenangan dan sebab itu kami perlu bekerja lebih keras.
“Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana Pahang sudah bersedia untuk mengharunginya bersandarkan gabungan pemain lama dan baru termasuk kehadiran dua pemain import,” katanya semalam.
Untuk rekod, Jalaluddin yang pernah menyarung jersi skuad negara ketika dilatih Hatem Sosusi memikul tugas selaku kapten Pahang sejak 2010.
Lebih manis pemain pertahanan itu melengkapkan kemenangan piala yang sudah digenggam iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Liga Super.
Apa yang pasti, pemain kelahiran Pekan itu berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang banyak memberikan sokongan.
“Saya menghargai sokongan Tengku Abdul Rahman yang mahu saya terus bermain bersama Pahang musim ini biarpun sebelum ini mahu mengumumkan persaraan,” katanya.
Hmetro.com.my