Thursday, 2 January 2014

Tiada Masalah Komunikasi

Ipoh: Tiada masalah hubungan antara saya dengan awang import. Begitulah kata jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim mengenai komunikasi antaranya dengan pemain Burkina Faso, Martin Kafando, Zelemir Terkers (Bosnia) dan Eliel Da Cruz Gardiano (Brazil).
“Tiada masalah. Ada bahasa bola sepak selain saya gunakan isyarat tertentu. Mereka boleh faham,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra dengan peminat di kediaman Menteri Besar Perak, petang semalam.

Hadir pada majlis itu ialah pengurus pasukan, Datuk Azhar Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Justeru Bakar yang akan menyambut ketibaan Kyaw Zayar Win di KLIA petang ini tidak menjangka kapten skuad bawah 23 Myanmar itu akan menghadapi sebarang masalah bersama pasukan barunya itu.

Malah Perak berpeluang melihat aksi pertama pemain tengah itu apabila Seladang mengadakan perlawanan persahabatan dengan PDRM di Stadium Perak, Sabtu ini.

Bakar berkata setakat ini hanya tinggal Mohd Hardi Jaafar yang masih merawat kecederaan kerana Kafando sudah pulih.
Sementara itu, Bakar berkata dia sedang berusaha mengubah ‘sikap’ pemain Perak dengan mengadakan sesi latihan sepanjang minggu agar mereka sentiasa kekal fokus terhadap tugasan mereka.

Berikutan itu katanya tiada lagi rehat pada hari minggu buat pemain seperti sebelum ini kerana pemain juga perlu turun berlatih pada hari Ahad.
“Saya mahu pemain belajar menyesuaikan diri dengan suasana semasa pertandingan bermula nanti yang memerlukan pemain sentiasa bersedia untuk menghadapi perlawanan.

“Saya mahu menanam kesedaran kepada pemain supaya berfikir mengenai perkembangan diri mereka sendiri.

“Mereka harus tanya diri mereka sendiri jika kurang mendapat peluang bermain dalam perlawanan dan tidak menyalahkan orang lain,” katanya.
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets