Saturday, 18 January 2014

Kelantan Yakin Jinakkan Sime Darby


Darby serius memerhatikan anak buahnya menjalani latihan terakhir petang semalam, bagi menghadapi Sime Darby FC di Kota Bharu, malam ini.
PASUKAN The Red Warriors tampak bersedia memulakan aksi pembuka tirai Liga Super 2014 dengan kemenangan apabila melayan kunjungan Sime Darby FC dalam aksi sulung kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Pengendali Kelantan, Steve Darby berkata, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, selain faktor semua pemainnya bebas daripada masalah kecederaan menyuntik semangat pasukannya untuk meraih tiga mata pada pertemuan ini.
“Hari ini (semalam) saya menukar sesi latihan dengan berlatih pada sebelah pagi. Saya lihat pemain cukup bersemangat menghadapi Sime Darby FC malam esok (ini), lebih-lebih lagi kami mempunyai kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri.
“Tiga mata pertama ini amat penting bagi kami. Dalam bola sepak, kami harus tanamkan sikap sentiasa hendak menang kerana tidak ada mana-mana pasukan mahu kalah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Jurulatih berusia 58 tahun itu bagaimanapun, tetap menghormati keupayaan Sime Darby FC yang dibimbing jurulatih pengalaman, Ismail Zakaria biarpun ia merupakan penampilan pertama pasukan berstatus kelab berkenaan beraksi dalam kancah Liga Super musim ini.
“Saya tidak tahu sangat mengenai kekuatan pasukan Sime Darby FC, cuma yang saya dengar mereka ada membuat beberapa pertukaran pemain termasuk menyenaraikan awang import baharu pada musim ini.
“Tetapi saya tidak mahu memikirkan kekuatan atau strategi pasukan lawan kerana fokus utama saya sekarang ialah memastikan kemenangan sulung pada perlawanan ini menjadi milik Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran England itu mengambil pendirian mengunci mulut apabila enggan mendedahkan barisan terkuat pasukannya yang akan diturunkan menentang Sime Darby FC, pada malam ini.
Ketika ini, ramai penyokong setia mereka ternanti-nanti sama ada kelibat Mohamad Ghaddar atau Francis Forkey Doe yang menjadi pilihan Darby untuk beraksi lebih awal dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu.
“Kebiasaannya pagi hari perlawanan barulah saya akan buat keputusan siapa yang akan bermain. Memang sudah ada dalam gambaran saya siapa yang akan diturunkan. “Bukan 11 (pemain) tetapi 14 dan anda tunggulah pada malam ini,” katanya.
Kelate.net
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets