Manchester, (United Kingdom): Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini percaya kehebatan pasukannya menjaringkan gol boleh membantu mereka menyapu bersih semua empat piala utama musim ini.
Kemenangan 4-2 di gelanggang sendiri ke atas Cardiff City pada aksi Liga Perdana kelmarin membolehkan City menjaringkan 103 gol dalam semua kejohanan dan 42 gol dalam 11 perlawanan liga di gelanggang sendiri setakat ini yang semuanya dimenangi mereka.
Mereka hanya ketinggalan satu mata dengan pendahulu Arsenal, memiliki kelebihan 6-0 ke atas West Ham United menjelang pertembungan separuh akhir kedua Piala Liga minggu ini dan masih lagi bersaing dalam Liga Juara-Juara dan Piala FA.
“Saya fikir kami dalam keadaan sangat baik dari segi keyakinan pasukan ini, bukan hanya membabitkan 11 pemain saja,” kata Pellegrini. “Keyakinan pasukan ini sangat tinggi ketika ini. Kami akan meneruskan cabaran dan bulan lalu tekanan amat tinggi buat semua pasukan. saya berharap kami dapat mengekalkan rentak.
“Saingan Liga Perdana sangat sengit dan bukan hanya Liga Perdana, tapi kejohanan lain. Kami bukan satu-satunya pasukan pilihan, tapi kami dalam kedudukan terbaik dan kami berharap dapat mengekalkan prestasi ini.
“Pasukan ini semakin meningkat. Kami mesti menjadi pencabar untuk semua kejuaraan. Kami bermain lebih baik berbanding di awal musim tapi ia perkara normal.
“Bukan mudah untuk membuat banyak perubahan dari segi cara pasukan ini bermain sebelum ini. Pemain perlu belajar banyak perkara. Sekarang kami mesti teruskan usaha.” - AFP
Hmetro.com.my