London: Pengurus Southampton, Mauricio Pochettino masih berminat kekal bersama kelab itu meskipun Nicola Cortese meletakkan jawatan selaku pengerusi eksekutif.
Cortese meninggalkan kelab itu Rabu lalu dengan pemilik kelab, Katharina Liebherr melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi wanita bukan eksekutif.
Pada Mei lalu Pochettino menyatakan beliau akan meninggalkan kelab itu jika Cortese sudah tidak bersama namun beliau memaklumkan kepada pemberita untuk terus kekal.
“Saya mahu menyatakan penghargaan kepada Nicola Cortese. Saya percayakannya, beliau yang membawa saya ke sini, pegawai dan keluarga saya. Saya amat berterima kasih kepadanya,” kata Pochettino.
“Lapan bulan lalu kami baru menghabiskan musim pertama kami dan saya ada menyatakan jika beliau pergi maka tiada guna untuk saya kekal di sini.
“Sekarang situasi sudah berbeza. Kami sedang mengusahakan projek baru. Nicola tahu alasan untuk saya kekal di sini kerana saya bercakap dengannya. Saya memberi komitmen sepenuhnya kepada pegawai, pemain, kelab dan adalah tidak bagus untuk saya pergi ketika kempen masih berjalan.” - AFP
Hmetro.com.my