London: Arsene Wenger yakin kekuatan bahagian tengah Arsenal akan membantu mereka mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris.
Gunners mempunyai kelebihan satu mata mengatasi pasukan di tangga kedua Manchester City ketika mereka membuat persediaan melayan kunjungan Fulham di Stadium Emirates, malam ini.
Kehebatan penyudah City yang sukar digugat ketika ini membolehkan mereka memiliki kelebihan dari segi jaringan gol dalam Liga Perdana dan mereka kini dilihat calon terbaik untuk muncul juara.
Namun Arsenal terus mengekalkan rekod kemenangan meskipun berdepan masalah kecederaan pemain dalam jangka panjang membabitkan penyerang Lukas Podolski, Theo Walcott dan Alex Oxlade-Chamberlain pada kempen musim ini.
Bersandarkan pencapaian itu pengurus Gunners, Wenger percaya kualiti dan pilihan pemain tengah yang ramai bakal memberi kelebihan kepadanya.
“Di bahagian tengah kami mempunyai ramai pemain berkualiti yang anda boleh gilirkan tanpa berasa pasukan kami lemah hari ini,” katanya.
“Kami mempunyai pemain hebat di bahagian tengah dan ia membolehkan bahagian ‘enjin’ kami sentiasa segar.
“Ia kesungguhan satu pasukan. Mungkin kerana setiap pemain di posisi masing-masing juga mempunyai personaliti yang kuat.”
Aaron Ramsey kini antara calon pemain terbaik musim ini serta turut bertindak selaku kapten Wales sudah menyumbang 13 gol setakat ini.
Pemain perancang Jerman, Mesut Ozil kurang konsisten, tetapi Wenger tetap kagum dengan persembahannya setakat ini.
“Dia tonggak utama pasukan,” kata Wenger. “Dia juga mampu menyumbang apa yang diperlukan dalam perlawanan dan dia amat dihormati. Itulah kualiti seorang pemain terbilang.”- AFP