Saturday, 18 January 2014

UiTM FC Yakin Mampu Beri Saingan

Shah Alam: Walaupun menempuh pengalaman getir ketika melangkah aksi pertama Liga Perdana tahun lalu, skuad UiTM FC kini lebih bersedia untuk menempuh cabaran musim ini yang dijangka jauh lebih mencabar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Prof Dr Abdullah Mohd Said yang juga presiden pasukan itu berkata, skuad yang diletakkan di bawah Projek Kecemerlangan Sukan (PKS) Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini mempunyai misi menggunung, tetapi beliau yakin mereka mampu memberikan saingan.
“Malah sasaran kami adalah untuk berada di kedudukan enam teratas Liga Perdana serta ingin mencatat sejarah melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia musim ini,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenal barisan pemain UiTM FC musim ini, semalam.
Turun selaku institusi pengajian tinggi pertama melayakkan diri ke Liga Perdana dan mendapat khidmat jurulatih Azuan Zin, pasukan itu meletakkan sasaran realistik iaitu untuk terus bersaing dalam liga itu pada musim akan datang.
“Biarpun mereka semua ini pelajar, tapi mempunyai keinginan untuk pergi jauh.
Mereka ini berada di usia muda dan platform bersaing di Liga Perdana boleh digunakan untuk mempromosi diri bagi diintai pasukan luar apabila tamat pengajian nanti.
“Untuk memantapkan lagi skuad ini, UiTM FC buat julung kalinya menurunkan dua pemain import dari Nigeria dan Tanzania,” kata Azuan.

Berpengalaman membimbing pasukan Johor FC dan NS Betaria, Azuan berkata cabarannya sebagai jurulatih skuad itu memang besar namun berbangga kerana dapat menyertai pasukan yang mempunyai pengurusan yang komited.
“Cabarannya banyak, apa lagi mereka ini masih menuntut.

Saya perlu menyusun jadual masing-masing untuk disesuaikan dengan latihan termasuk enam pemain yang bukan menuntut di UiTM,” katanya.
Azuan berkata mereka mengadakan latihan serta perlawanan persahabatan selama sembilan hari di Jogjakarta, Solo dan Semarang dengan pasukan profesional Indonesia bulan lalu dan gembira dengan perkembangan pemain bimbingannya itu.
Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets