Liverpool: Brendan Rodgers memberi amaran kepada mana-mana pencabar kejuaraan Liverpool untuk melalui tempoh “90 minit yang sukar” apabila mereka berkunjung ke Anfield.
Liverpool kehilangan cengkaman selepas dua kekalahan berturut-turut di Manchester City dan Chelsea sehingga merosot dari tangga teratas ke tangga kelima liga bagaimanapun semua pasukan pilihan kejuaraan masih perlu bertandang ke Anfield dan Rodgers percaya ia akan menjadi penentu.
Sejak kalah 1-0 kepada Southampton di Anfield pada 21 September lalu, Liverpool berjaya merekod enam kemenangan berturut-turut di laman sendiri dan menjaringkan 23 gol. Menurut Rodgers, ia bakal mencetuskan ancaman besar buat City, Chelsea dan Arsenal.
“Semua pasukan teratas kecuali United masih mempunyai perlawanan di Anfield dan kami hebat di sana,” kata pengurus Liverpool itu. “Jika kami boleh memantapkan pasukan ini pada Januari ini, ia pasti memberi kelebihan kepada kami.
“Kami tidak berdepan masalah mencatat kemenangan di gelanggang sendiri. Saya mahu setiap pasukan yang datang ke sini merasai detik paling sukar selama 90 minit musim ini dan saya fikir kami dalam landasan tepat ketika ini,” katanya. -Agensi
Hmetro.com.my